Khamis, 27 Jun 2019

Petani perlu cantum kebun, ladang kecil untuk tambah pendapatan – PM

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF27062019_TUN-DASAR-PLB29
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun hadir pada Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar di PICC, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM,

PUTRAJAYA – Kerajaan berhasrat melaksanakan konsep pertanian estet dengan lebih meluas di seluruh negara sebagai usaha meningkatkan pendapatan golongan petani dan penduduk luar bandar.

Langkah itu perlu disertai golongan petani dan pekebun kecil dengan cara mencantumkan kebun dan ladang kecil untuk diurus secara estet pada skala besar, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, konsep pertanian seperti itu pernah dilaksanakan sebelum ini, namun, matlamatnya tidak tercapai.

Katanya, setiap kawasan yang dicantum akan diusahakan dengan pertanian campuran berbanding kaedah konvensional yang hanya menumpukan satu tanaman atau komoditi.

“Kita yakin kalau (kebun dan ladang dimiliki petani serta pekebun kecil) diuruskan secara ladang besar, mereka akan mendapat keuntungan yang baik.

“Kita akan berusaha mengenal pasti kawasan boleh dicantum dan diurus secara estet. Kawasan-kawasan ini sebenarnya lebih luas daripada ladang estet getah (dimiliki syarikat perladangan utama) tetapi estet itu mengeluarkan hasil lebih banyak.

“Jadi, kita kena menjadikan kawasan itu untuk dicantumkan, kita boleh menggunakan kaedah pertanian campuran,” katanya.

Berliau berkata demikian kepada pemnberita selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, dan Timbalan Menterinya, R Sivarasa.

Ditanya sama ada Felda sebagai contoh kepada konsep pertanian estet itu, Dr. Mahathir berkata, Felda boleh melaksanakannya dengan mencantumkan tanah-tanah peneroka yang diusahakan sebagai estet atau ladang besar di bawah satu pengurusan.

Bagaimanapun menurut Perdana Menteri, kesilapan yang berlaku di Felda ialah peneroka hanya menguruskan tanah masing-masing menyebabkan pendapatan mereka rendah, berbanding menguruskannya sebagai estet yang mampu memberikan pulangan besar.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, penduduk luar bandar yang rata-rata masih bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan, kerap dikaitkan dengan kemiskinan dan bergantung kepada bantuan kerajaan.

Sehubungan itu kata beliau, mereka yang rata-rata mengusahakan pertanian dalam skala kecil secara konvensional, perlu berubah kepada pertanian moden dengan mewujudkan estet-estet jika ingin mengubah kehidupan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: