Isnin, 17 Jun 2019

Pengusaha minyak ‘tidak tahu’ mengenai sistem subsidi

Pada Oktober 2018, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa 
subsidi 30 sen seliter bagi petrol RON95 akan diberikan kepada 
pemandu dalam kategori B40.
 
PETALING JAYA: Dengan hanya 2 minggu berbaki sebelum sistem subsidi minyak dikatakan akan bermula, pengusaha stesen minyak mengadu bahawa mereka tidak tahu apa-apa dan tiada pihak yang memberi penerangan tentang bagaimana sistem itu akan berjalan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pengusaha tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai sistem itu, yang akan menyaksikan pemandu berpendapatan rendah menerima subsidi harga minyak.

“Kami tidak tahu apa-apa. Kami tidak tahu bagaimana ia akan dilaksanakan maupun diberi penerangan oleh mana-mana pihak. Kami bimbang kerana sesetengah pemandu mungkin layak, sementara yang lain tidak layak menerima subsidi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pemandu mungkin melepaskan kemarahan mereka pada pengusaha stesen minyak sekiranya sistem itu tidak lancar.
Pada Oktober 2018, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa subsidi 30 sen seliter bagi petrol RON95 akan diberikan kepada pemandu dalam kategori B40 (kumpulan berpendapatan rendah yang mewakili 40% terbawah masyarakat) yang memiliki kereta atau motosikal dengan kapasiti enjin masing-masing sehingga 1,500cc dan 125cc.

Subsisidi bersasaran itu dicadangkan bagi mengurangkan kos. Tahun lepas, kerajaan membelanjakan RM4.9 bilion untuk subsidi minyak bagai petrol RON95 dari bulan Januari hingga November.
Sejumlah RM2 bilion telah diperuntukkan untuk sistem baru yang dijadualkan bermula 1 Julai ini.

Khairul Annuar, yang menyifatkan sistem itu sebagai “projek berskala mega” berkata, pengusaha tidak maklum sekiranya ada projek perintis atau percubaan yang diadakan sebelum ia dilaksanakan.

Beliau berkata, pengusaha stesen minyak cenderung menerima sistem yang membolehkan subsidi dibayar secara langsung ke akaun bank penerima, bukannya dibuat melalui operator pam minyak.

Katanya, pengusaha tidak tahu berapa lama kerajaan akan membuat bayaran balik kepada mereka sekiranya mereka terpaksa mendahulukan kos subsidi berkenaan.

Pada 11 Jun lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan masih mengumpulkan data untuk kegunaan skim bayaran subsidi itu.

Pada Mei, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan subsidi minyak mungkin diperkenalkan pada Julai ini kerana kerajaan berada di peringkat akhir dalam mengenal pasti mekanisme yang sesuai.

Saifuddin berkata, sistem datanya dipisahkan daripada data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Terdahulu kerajaan berkata, ia mencadangkan penggunaan kad atau kupon diskaun. Bagaimanapun menteri kemudiannya memberitahu Dewan Rakyat bahawa bayaran langsung ke akaun bank penerima lebih praktikal.

Katanya, pangkalan data BSH menunjukkan 90% daripada kumpulan B40 yang layak menerima subsidi berkenaan mempunyai akaun bank. Setakat April, terdapat 4.1 juta penerima BSH.

Tiada ulasan: