Isnin, 24 Jun 2019

Pencemaran udara Pasir Gudang: 9 tabika ditutup

MALAYSIAKINI
   
Sembilan tabika perpaduan sekitar Pasir Gudang, dekat Johor Bahru, antara yang diarah tutup berikutan pencemaran udara yang berlaku sejak lima hari lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafik berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) telah membuat pemantauan yang rapi mengenai kes sesak nafas dan muntah-muntah yang berlaku di beberapa sekolah di kawasan Pasir Gudang.

“Untuk memastikan keselamatan murid terutama di kawasan tercemar, saya mengarahkan Perpaduan Johor untuk menutup sementara tadika di kawasan terlibat.

“Ini selaras dengan arahan penutupan kelas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi semua Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dan Tadika Kerajaan serta Swasta yang berada dalam radius kawasan pencemaran bermula 23 (Ahad) hingga 27 Jun 2019 (Khamis),” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Menurut Anggota Parlimen Tanjung Piai itu, pihak jabatan akan terus membuat pemantauan rapi dan melihat perkembangan semasa mengenai perkara ini.

“Sekiranya terdapat keperluan, penutupan sementara pengoperasian kelas-kelas ini akan dilanjutkan dan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Md Farid.

Tabika-tabika perpaduan (TP) yang terlibat ialah TP Taman Scientex A, TP Taman Scientex B, TP Zon Sentosa A, TP Zon Sentosa B, TP Taman Nusa Damai, TP Taman Tg Puteri Resort A, TP Taman Tanjung Puteri Resort B, TP Perjiranan 8A dan TP Perjiranan 8B.- Bernama


Tiada ulasan: