Ahad, 16 Jun 2019

Nilai 3 akan dipromosi semula sebagai destinasi beli-belah

Bernama
Nilai 3 akan dipromosi semula sebagai destinasi beli-belah
Selain terkenal dengan jualan permaidani dan dekorasi kediaman, Nilai 3 juga menjadi tumpuan mereka yang mahu mendapatkan barangan keperluan diri dan kanak-kanak. - Facebook/Lotus Century Nilai 3
 
 
NILAI: Kerajaan negeri mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat untuk mempromosi semula Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini sebagai satu destinasi membeli-belah dan pelancongan yang terkenal di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata syarikat ini telah bersetuju untuk mengambil-alih tanggungjawab mempromosikan semula Pusat Perniagaan Nilai 3 sebagai pusat komersil yang terbaik di negara ini.

"Kita sebenarnya telah merancang untuk 'menaikkan' semula Pusat Perniagaan Nilai 3 dan ia mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat. Usaha ini sekarang di peringkat akhir, hanya tinggal lagi berkaitan urusan tanah. InsyaAllah jika semuanya berjalan lancar, kita akan promosikan semula Pusat Perniagaan Nilai 3 sebagai satu destinasi beli-belah dan pelancongan yang terkenal di negeri ini.

"Kita melihat Pusat PerniagaanNilai 3 mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan semula sebagai destinasi membeli-belah dan pelancongan. Kita cuma memerlukan sedikit masa untuk dimuktamadkan. Dalam sebulan dua ini, syarikat terbabit dijangka akan mula beroperasi," katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Larian Amal dan Menunggang Basikal AEON 2019 (AEON Charity Run and Ride 2019) di Pasaraya AEON Mall Nilai di sini, hari ini.
 
Jualan permaidani adalah antara tarikan utama di Nilai 3.
Jualan permaidani adalah antara tarikan utama di Nilai 3.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar (Kosmo) baru-baru ini mengenai ratusan peniaga permaidani, kain dan kelengkapan perkahwinan di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini merayu kepada kerajaan negeri supaya menyelamatkan kawasan tersebut daripada terus mati sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

Keadaan itu meresahkan ramai peniaga pusat perniagaan berkenaan yang pernah dianggap sebagai syurga membeli-belah terutamanya bagi rakyat Malaysia yang gemarkan set permaidani dan kain.

Pusat Perniagaan Nilai 3 yang suatu masa dahulu terkenal sebagai tempat membeli kelengkapan perkahwinan dan permaidani dalam kalangan rakyat Malaysia, tapi semakin kurang dikunjungi orang ramai sejak beberapa tahun lalu.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr. Razali Ab Malik; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J. Arul Kumar dan Presiden Malaysian AEON Foundation (MAF) Datin Yasmin Ahmad Merican.

Katanya disamping membuat promosi yang hebat, Nilai 3 akan mempunyai tempat seperti tapak ekspo yang besar dan perniagaan dijalankan oleh bukan sahaja syarikat-syarikat, tetapi juga peniaga-peniaga tempatan.

"Jadi, ini akan menarik lebih ramai lagi pengunjung termasuk pembeli dan pelancong dari negeri ini dan luar Negeri Sembilan ke Nilai 3," katanya.

Aminuddin berkata antara pihak yang terlibat membantu memajukan semula Nilai 3 ialah Majlis Perbandaran Nilai, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Persatuan Peniaga Nilai 3.

Pada majlis itu, sebanyak 10 pertubuhan kebajikan, anak yatim dan sekolah dari Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak masing-masing menerima sumbangan RM10,000 daripada MAF.

Seramai 847 peserta yang mengambil bahagian pada larian dan menunggang basikal itu yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu 6 kilometer dan 18 kilometer yang adakan disekitar AEON Mall Nilai di sini. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: