Khamis, 20 Jun 2019

Kontrak Haziq sebagai SUSK ditamat berkuat kuasa 18 Jun

ISMA WEB


Pengakuan tak beretika langgar peraturan perkhidmatan awam


KUALA LUMPUR– Kementerian Industri Utama menamatkan kontrak perkhidmatan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menterinya, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkuat kuasa Selasa lepas.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, langkah berkenaan diambil ekoran satu pengakuan tidak beretika di dalam media sosial yang telah dibuat menerusi klip video oleh Haziq pada 12 Jun lepas.

“Kementerian memandang perkara itu sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

“Surat tunjuk sebab juga telah diberikan serta-merta dan beliau telah menjawabnya. Sehubungan itu Kementerian telah mengambil langkah menamatkan perkhidmatan beliau berkuat kuasa 18 Jun 2019,” menurut kenyataan itu.

Susulan penamatan kontrak berkenaan, kementerian tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan Haziq, menurut kenyataan itu lagi.

Kementerian itu turut menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang soal perilaku yang menjejaskan reputasi serta imej pihaknya. – Bernama


Tiada ulasan: