Ahad, 23 Jun 2019

Kabinet baharu Dewan Pemuda Pas 2019-2021

Manzaidi Mohd Amin

Kabinet Dewan Pemuda Pas Malaysia sesi 2019-2021 yang dibentuk dalam tempoh 48 jam.
Kabinet Dewan Pemuda Pas Malaysia sesi 2019-2021 yang dibentuk dalam tempoh 48 jam.


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) telah membentuk organisasi Jawatankuasa Harian sayap parti itu untuk sesi 2019-2021.

Pembentukan organisasi itu mencatat sejarah apabila berlaku dalam tempoh 48 jam sejurus selepas peralihan sesi kepimpinan baharu yang dilantik dalam Muktamar DPPM pada 19 dan 20 Jun lalu.

Menurut ketuanya yang baharu, Ir. Khairil Nizam Khirudin, daripada 10 ahli jawatankuasa Harian DPPM, enam adalah muka baharu yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan yang hebat, kompeten dan berpengalaman luas dalam skop tugas masing-masing.

Katanya, beliau yakin kombinasi yang ditawarkan itu menjanjikan gerak kerja dinamik dan berwawasan bagi menggalas tanggungjawab memperjuang agenda anak muda Malaysia.

Tugas besar sebagai Setiausaha DPPM merangkap Ketua Sektor Pengurusan sesi ini diamanahkan kepada Akram Ikrami Taib Azamudden.

Beliau yang merupakan AJK DPPM sesi lalu dipilih oleh mesyuarat berdasarkan keupayaan dan kebolehan dalam mengurus dan mentadbir organisasi, selain berpengalaman sebagai jurulatih dalam bidang yang sama.

Tugas beliau mengurus organisasi digandingkan bersama Muhd Khidhir Prof Datuk Dr. Izaidin selaku Penolong Setiausaha 1, portfolio yang sama digalasnya ketika sesi sebelum ini.

Jelas Ir. Khairil Nizam lagi, bagi jawatan Penolong Setiausaha II pula, pihaknya melantik tokoh muda dari Kedah, Mohd Aizat Zakaria yang berpengalaman sebagai Setiausaha Dewan Pemuda Pas Negeri dan Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kedah selama beberapa penggal.

“Selain itu, tokoh mahasiswa dan anak muda yang sedang melonjak naik iaitu Muhammad Faizzuddin Mohd Zai pula diberi tugas sebagai Penolong Setiausaha III.

“Untuk jawatan Bendahari pula, kami bersetuju melantik Roslan Md Esa. Selain pernah menjawat jawatan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pahang dan AJK DPPM sesi lalu, pengalaman beliau membangunkan dan menguruskan Ma’had Tahfiz Al-Abrar di Bentong amat kami perlukan untuk meneruskan legasi cemerlang Bendahari sebelum ini. Beliau juga merupakan Ketua Sektor Kewangan dan Ekonomi sesi ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Bagi mendepani cabaran media sosial yang sengit, Abdul Malik Ab Razak dipilih menjawat jawatan Ketua Penerangan, merangkap Ketua Sektor Komunikasi Strategik.

Beliau merupakan tokoh mahasiswa dan anak muda yang diberi kepercayaan menjadi Setiausaha Akhbar kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga merupakan AJK DPPM sesi lalu.

Mohd Al Ghazali Abu Bakar pula diberikan tugas mengetuai jentera pilihan raya DPPM sebagai Pengarah Pilihan Raya.

“Pengalaman beliau sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya Badan Perhubungan Pas Terengganu sesi ini dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya DPPM sesi lalu merupakan faktor utama mengapa beliau dipilih menggalas tugas ini.

“Selain itu, sebagai bukti perhatian serius terhadap bidang pendidikan dalam parti, kami bersetuju mengangkat Ketua Sektor Pendidikan sebagai salah seorang AJK Harian DPPM.

“Tugas mencabar ini diberikan kepada seorang jurutera kanan kelahiran Sarawak yang lebih dikenali sebagai Lebai Engineer iaitu Muhtar Suhaili, Bendahari DPPM sebelum ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, dengan pelantikan itu, lengkaplah semua ketua kepada tujuh sektor dalam DPPM.

Ketua Pemuda, Timbalan dan Naib Ketua Pemuda masing-masing mengetuai Sektor Politik, Sektor Tanggungjawab Sosial dan Khidmat Masyarakat serta Sektor Sumber Manusia dan Latihan.

Manakala empat sektor lain iaitu Sektor Pengurusan diketuai Setiausaha; Sektor Kewangan dan Ekonomi diketuai Bendahari; Sektor Komunikasi Strategik dan Sektor Pendidikan.

“Proses pembentukan dan pelantikan portfolio lain di bawah semua tujuh sektor ini juga telah hampir sempurna dan akan diumumkan dalam masa terdekat setelah ianya selesai dan lengkap sepenuhnya.

“Pembentukan segera kabinet DPPM sesi baharu ini membuktikan Pas tidak ketandusan pemimpin pelapis muda.

“Bahkan, DPPM mempunyai ramai calon berbakat tinggi yang sentiasa dilatih dari semasa ke semasa,” katanya.

Berikut senarai penuh keputusan pemilihan Dewan Pemuda Pas Malaysia 2019-2021.

Pengerusi Tetap: Kamal Ashaari
Timbalan Pengerusi Tetap: Nor Azariza  Mohd Alawi

Ketua Pemuda: Ir. Khairil Nizam Khirudin
Timbalan Ketua: Ahmad Fadhli Shaari
Naib Ketua: Afnan Hamimi Taib Azamudden

Ahli Jawatankuasa:
Akram Ikrami Taib Azamudden
Hafez Sabri
Muhtar Suhaili
Izwan Abdul Halim
Khairul Nadzir Helmi Azhar
Roslan Md Esa
Mohammad Arifiriazul Paijo
Mohammad Nadzim Ahmad
Abdul Malik Abd Razak
Muhammad Fadzli Abu Bakar
Mohd Al Ghazali Abu Bakar
Juwahir Amin

Pemeriksa Kira-Kira:
Mohd Shahir Abu Hassan
Muhammad Ali Rajaie Jamaludin. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: