Rabu, 26 Jun 2019

Ini awek Syazwan Zulkifli

Rudy Imran Shamsudin
 
 

PELAKON Syazwan Zulkifli mengakui wanita yang gambarnya dimuat naik di Instagram hari ini adalah kekasihnya.

Menerusi gambar itu, Syazwan yang popular dengan watak Pali dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda menulis ‘selamat pagi’ berserta lambang hati.

Walaupun dia tidak menyatakan siapa wanita terbabit, tetapi pengikutnya seakan tahu bahawa itulah kekasih Syazwan.

Tidak kurang ada yang berasa gembira dengan menulis ‘Yeah! Pali sudah ada kekasih’ dan memberikan ucapan tahniah.

Ada juga yang pelik apabila Syazwan memuat naik gambar kekasihnya kerana pelakon itu jarang sekali berkongsi cerita peribadi apatah lagi membabitkan hubungan cinta dan teman wanita.

Ada yang membuat andaian Syazwan bakal mengakhiri zaman solo dalam waktu terdekat.

Syazwan yang mula dikenali menerusi drama dan filem Juvana itu ketika dihubungi berkata, dia memang ada perancangan untuk melangsungkan pernikahan tetapi tarikhnya belum ditentukan.

“Yang pasti bukan dalam waktu terdekat. Sekarang ini saya terikat dengan komitmen kerja,” katanya.

Bercerita mengenai kekasihnya yang dikenali sebagai Sya itu, Syazwan berkata, gadis itu bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan tempatan.

“Kami sudah lama kenal dan sudah cukup tahu akan hati budi masing-masing. Soal jodoh biar Allah tentukan. Saya harap peminat mendoakan yang baik-baik buat kami,” katanya.

Tiada ulasan: