Rabu, 19 Jun 2019

Haziq tak dipecat cuma kena jawab surat tunjuk sebab

Kumara Sabapatty
MGF19062019_SIDANG-MEDIA-PKR_06
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 


PETALING JAYA – Ahli parti PKR yang mengaku individu dalam video seks songsang, Haziq Abdullah Abdul Aziz akan diberikan surat tunjuk sebab dan perlu menjawabnya dalam tempoh 14 hari.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, keputusan itu dibuat pada Ahad 16 Jun lalu dan dikemukakan kepada Mesyuarat Biro Politik yang telah berlangsung petang tadi.

Menurutnya, surat tunjuk sebab itu akan diserahkan kepada Haziq setelah mendapati bekas Ketua Pemuda Santubong itu telah mencemar dan merosakkan parti.

“Ada empat perkara yang telah dirumuskan oleh Lembaga Disiplin  PKR parti yang kami kemukakan kepada Biro Politik hari ini.

“Surat tunjuk sebab akan diberikan kepada Haziq kerana telah mencemar nama parti dengan membuat kenyataan umum yang menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi dan keperibadian pimpinan parti.

“Lembaga Disiplin PKR ambil maklum penafian yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan akan meneliti sebarang penjelasan sekiranya ada,” katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Obrahim, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jeyakumar.

Justeru Ahmad Kassim berkata, pihaknya juga menunggu siasatan daripada polis Diraja Malaysia atau pihak lain yang berautoriti terlebih dahulu dalam kes yang sama.

Malah tegas Ahmad Kassim, lembaga disiplin parti juga memberikan amaran keras kepada semua ahli parti supaya tidak membuat kenyataan tanpa asas dan fakta kepada kepimpinan parti.

Sementara itu, Anwar ketika ditanya apa yang berlaku sekiranya Haziq tidak menjawab surat tunjuk sebab, beliau berkata;

“Tunggulah dia (Haziq) jawab dulu, mana kamu tau dia takkan jawab.? soalnya semula kepada wakil media.

Ditanya mengenai dakwaan wujud perpecahan dalam kalangan pemimpin parti, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengulangi kenyataannya tiada perpecahan berlaku dalam parti disebabkan penularan video berkenaan.

Selain itu, Anwar turut dipersoal sama ada Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin membangkitkan soal memecat Haziq semasa mesyuarat dan apakah beliau berpuas hati dalam keputusan yang dicapai.

“Ini keputusan secara konsensus.. Dia (Zuraida) pun dalam mesyuarat tadi juga ketua Pemuda dan Wanita..semua hadir kecuali Azmin ..saya ulang kenyataan ini berulang kali, ini telah dipersetujui bersama, kami hormati pandangan tetapi keputusan seperti yang ditentukan Lembaga Disiplin tadi.

“Begitu juga pemimpin pimpinan di Sabah dan Sarawak..umumnya tanpa kecuali mahu beberapa keterangan tetapi setuju dengan keputusan pimpinan PKR bahawa kita tolak budaya jijik keji dalam politik ini.

“Kami serahkan siasatan kepada PDRM dan pihak berkuasa lain,” tegasnya.

Tengahari tadi, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan akan mendesak parti untuk memecat Haziq kerana tindakan bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama itu jelas satu jenayah serius. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:
Zuraida akan desak PKR pecat Haziq

Tiada ulasan: