Selasa, 25 Jun 2019

Dah sampai masa Dr Mahathir, Anwar bersara: Berjasa

ainulillia  

 

Perbalahan politik untuk rebut jawatan PM merugikan semua pihak

BANGI – Sudah sampai masa untuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing melepaskan jawatan serta melupakan hasrat menjadi Perdana Menteri.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, tampuk pemerintahan kini patut diserahkan kepada mereka yang lebih berkemampuan, berwibawa dan ‘lebih muda’ untuk menentukan hala tuju negara yang lebih cemerlang.

“Tanpa menafikan peranan dan sumbangan Tun Mahathir kepada negara ketika menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun, negara sekarang ini memerlukan satu kepimpinan yang baru, segar dan dinamik untuk mengeluarkan negara dari kemelut politik, ekonomi dan sosial yang memberi kesan besar kepada semua rakyat. 

“Kita kena akui kemampuan Tun Mahathir untuk memimpin dan mengubah keadaan negara pada masa sekarang ada hadnya dan inilah masa terbaik untuk melepaskan jawatan beliau kepada kepimpinan yang baru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Anwar juga dinasihatkan untuk melupakan hasrat menjadi perdana menteri kerana rakyat mahukan perubahan yang konkrit demi kestabilan dan kemakmuran negara, katanya.

Beliau berkata, pertelingkahan dan perbalahan politik dalam perebutan jawatan perdana menteri sangat merugikan semua pihak.

“Telah tiba masanya untuk semua pihak mengakui dan menerima hakikat Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ‘bersara’ dari politik tanah air.

“Sama ada menggantikan kedua-dua pemimpin ini dengan pemimpin baru dari kalangan PH atau mungkin yang lebih baik, memberi mandat kepada rakyat untuk menentukannya dengan pembubaran Parlimen,” katanya.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan pendiriannya akan menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh tiga tahun.

Dr Mahathir pada masa sama turut menegaskan tidak akan memegang jawatan tersebut lebih daripada tiga tahun.

Mengulas perkara itu, Anwar Ibrahim berkata, kenyataan Dr Mahathir yang akan menyerahkan jawatan itu dalam tempoh tiga tahun dan bukan dua tahun seperti yang dilaporkan dipersetujui Pakatan Harapan adalah sekadar andaian.


Tiada ulasan: