Khamis, 20 Jun 2019

‘Bukan Islam cenderung beri pandangan ikut akal’

siti hafidah

 

Penambahbaikan tak hanya perlu fokus subjek Pendidikan Islam sahaja


BANGI – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria hari ini menegaskan adalah tidak wajar bagi kerajaan membuka ruang kepada semua pihak tanpa mengira agama untuk memberi pandangan berkaitan mata pelajaran Pendidikan Islam.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, ini berikutan orang bukan Islam tidak memiliki kefahaman mengenai hukum dan peraturan agama Islam.

Malah katanya, mereka juga cenderung memberi pandangan berdasarkan akal dan kepentingan diri semata-mata, sedangkan mengikut tradisi dan falsafah Pendidikan Islam yang bersumberkan hukum daripada al-Quran dan Sunnah serta sumber yang disepakati oleh ulama.

“Jika pembabitan bukan Islam dalam cadangan penambahbaikan ini dibenarkan, dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Harussani berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menerusi hantaran di Facebook yang sebelum ini mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas bagi meneliti isu membabitkan Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan.

Bagaimanapun, selepas mendapat kecaman netizen, hantaran berkenaan telah dipadam dan digantikan dengan kenyataan kekesalan, kononnya pengumuman berkenaan disalah tafsir.

Dalam pada itu, Mufti Perak berkata, usaha penambahbaikan ini juga tidak hanya perlu fokus kepada mata pelajaran Pendidikan Islam, malah mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain supaya pelajar berbilang kaum mendapat kefahaman maksimum sekali gus dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara dan memupuk perpaduan nasional.

“Secara dasarnya saya menyokong dan bersetuju dengan usaha penambahbaikan itu, namun saya ingin menegaskan di sini bahawa usaha penambahbaikan itu mestilah dilakukan tanpa mengurangkan silibus mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada.

“Saya sangat menghargai usaha murni bagi menambahbaik bukan sahaja mata pelajaran Pendidikan Islam malah mata pelajaran yang lain juga, tetapi biarlah kajian dijalankan oleh ahli yang berkelayakan berdasarkan firman Allah di dalam surah An-Nahl ayat 43: ‘maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan’,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta umat Islam yang mempunyai kepakaran supaya dapat memberikan cadangan dan pandangan penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam secara atas talian di pautan https://forms.gle/SeVw82uoR2r8vnfp8 yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.


Tiada ulasan: