Ahad, 23 Jun 2019

Abang Johari sangkal Sarawak muflis dalam tempoh 3 tahun

sitifatimah  

 

Dakwaan tanpa ambil kira pendapatan Sarawak dari pelbagai sumber


MUKAH– Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyangkal dakwaan bahawa negeri itu akan menjadi muflis dalam masa tiga tahun lagi.

Menurut beliau, dakwaan tersebut telah dibuat tanpa mengambil kira pendapatan Sarawak daripada pelbagai sumber seperti minyak dan gas di samping kerajaan negeri mengamalkan tadbir urus kewangannya dengan cemerlang.
 
Dakwaan itu, katanya, turut dibuat hanya berasaskan kepada Belanjawan 2019 negeri yang berjumlah RM11 bilion.

“Kita ada pendapatan daripada dividen, royalti, premium dan hasil cukai. Tahun ini saya akan laksanakan cukai ke atas eksport minyak dan gas sebanyak 5 peratus yang memberi pendapatan RM3 bilion kepada Sarawak,” katanya, dan menambah, Sarawak mempunyai hak ke atas minyak dan gas di negeri itu.

Berucap pada majlis sambutan Gawai Raya dan pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon 10 di Rumah Panjang Kalang, Ulu Bayan Ulu, Jalan Mukah-Selangau dekat sini hari ini, beliau berkata pendapatan yang diperoleh negeri pada 2018 adalah sebanyak RM7 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika menghadiri majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di Kuching semalam berkata Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Lim, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan habis dalam masa tiga tahun.

Katanya, Sarawak mungkin mengalami nasib seperti Kelantan, yang menyaksikan kerajaan negeri berkenaan tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran yang lemah. – Bernama

Tiada ulasan: