Ahad, 16 Jun 2019

4 lagi mayat orang asli dibawa keluar untuk bedah siasat

tyrazalhe 

 

Operasi perlu ambil kira cuaca, jarak dan adat suku kaum Batek


KOTA BHARU– Polis Kelantan akan membawa keluar empat lagi mayat Orang Asli suku Batek yang ditemukan dalam Operasi Batek, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pasukan forensik polis bersama 12 Orang Asli akan masuk ke kawasan itu yang berkemungkinan pada petang ini bagi membawa keluar mayat yang dijumpai itu.

Beliau berkata, setakat ini semuanya hanya bergantung kepada cuaca dan jarak perjalanan.

“Sekiranya keadaan cuaca baik kita akan teruskan dan sekiranya hujan lebat mungkin operasi membawa keluar mayat akan ditangguhkan terlebih dahulu.

“Perjalanan ke lokasi empat mayat itu dikatakan memakan masa selama empat atau lima jam. Jika menggunakan bot ia memakan masa selama dua jam tetapi sekiranya hujan sudah pasti agak sukar,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Jelasnya, jika keadaan hari ini hujan lebat sudah pasti turut mendatangkan bahaya kepada pasukan petugas kerana di dalam hutan mungkin ada pokok kayu reput yang boleh menimpa pasukan berkenaan.

Selain keadaan cuaca dan jarak, operasi membawa keluar mayat turut mengambil kira adat suku Batek dan bukan boleh dibawa keluar begitu sahaja.

“Apa yang kita dimaklumkan sebelum ini ada 12 mayat kesemuanya dan ia adalah benar. Namun selagi kesemua mayat belum dibawa keluar dan disahkan oleh waris, barulah kita boleh sahkan.

“Sebagaimana yang kita ketahui, mayat yang dijumpai adalah tulang dan hanya boleh disahkan melalui ujian DNA waris,” katanya.

Hasanuddin berkata, polis juga akan merakam kenyataan daripada waris mangsa iaitu selepas kesemua mayat berjaya dibawa keluar.

Katanya, waris mangsa berkemungkinan sudah berhijrah keluar dan mungkin ketika perjalanan ada yang meninggal dunia dan dikebumikan di kawasan itu.

Mengulas mengenai larangan Zon Merah di Kuala Koh, Hasanuddin menjelaskan ia masih dikekalkan sehinggalah ada kenyataan terbaharu daripada agensi yang berkaitan.- Bernama


Tiada ulasan: