Jumaat, 31 Mei 2019

Wong Tack tetap tentang, tiada kompromi dengan Lynas

MALAYSIAKINI

   

Di sebalik lampu hijau kerajaan, Anggota Parlimen Bentong Wong Tack berkata beliau akan terus menentang operasi Lynas Sdn Bhd (Lynas) di negara ini.

Beliau berkata, tiada berkompromi terhadap kilang memproses nadir bumi itu kerana begitulah keputusan rakyat.

"Ini merupakan aspirasi rakyat Pahang khususnya penduduk di Kuantan yang tidak mahu Lynas berada di Pahang kerana sisa pepejal yang disimpan boleh memudaratkan kesihatan.

"Kita tetap akan menentang dan tidak akan berkompromi dengan mereka (Lynas), ini perjanjian kita pada rakyat dan mereka juga tidak mematuhi syarat undang-undang yang ditetapkan kerajaan," beliau dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian.

Dakwanya, Lynas tidak memenuhi kriteria dalam memastikan kesejahteraan, kesihatan dan alam sekitar.

Wong Tack tiada salah untuk Lynas memperbaharui lesen jika ia benar-benar mematuhi undang-undang.

Menurutnya, kerajaan mengambil serius isu Lynas dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin akan ke Australia mengadakan perbincangan dengan kerajaan baharu negara tersebut.

"Saya yakin kerajaan tidak akan meneruskan Lynas begitu sahaja kerana perbincangan masih dijalankan disebabkan Lynas telah melanggar undang-undang negara kita.

"Dalam perjanjian, sepatutnya sisa buangan ‘Neutralizaon Underow Residue’ (NUF) dibawa pulang ke Australia.

"Tapi tidak berlaku dan mereka ambil tindakan menyimpan sebanyak 1.13 juta tan sisa tersebut yang disimpan di tepi kilang. Kalau tahu jadi begini pasti kerajaan tidak membenarkan kilang Lynas dibina di Malaysia," katanya.


Tiada ulasan: