Sabtu, 18 Mei 2019

UMNO Selangor bakal punyai pengerusi baharu lepas raya

Nizam Zain
MGF21022019_BICARA-PERSADA10-681x454
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Selangor dijangka mengumumkan pengerusinya yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jun ini.

Menurut Ismail Sabri, penggantinya nanti akan ditentukan oleh Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mengisi kekosongan itu sejak 1 Mei lalu.

“Sehingga kini beberapa Ketua Bahagian telah menyatakan minat untuk mengisi jawatan tersebut. Mereka pemimpin berkebolehan dan berwibawa untuk menerajui Umno Selangor.

“Saya akan berbincang dengan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden untuk memutuskan nama Pengerusi Perhuhungan Umno Selangor.

“Insya-Allah nama Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dijangka akan diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 5 April lalu, Ismail Sabri menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkuat kuasa 1 Mei lalu ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Keputusan itu dibuat di hadapan Ketua-Ketua Bahagian serta Ketua-Ketua Sayap yang hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Ismail Sabri juga berkata, keputusan itu dibuat selepas merasakan matlamat untuk meningkatkan prestasi UMNO Selangor tercapai BERDASARKAN kejayaan parti itu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dalam Pilihan Raya Kecil pada 2 Mac lalu.

“Sebagaimana yang telah dimaklumi, saya telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor bagi tempoh sementara dalam usaha untuk meningkatkan prestasi Umno Selangor.

“Setelah hampir setahun mengemudi Umno Selangor, prestasi Umno Selangor telah dapat dipertingkatkan.

“Kejayaan terbesar adalah kemenangan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi DUN Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRK DUN itu pada 2 Mac 2019 lalu.

“Sehubungan itu, saya merasakan Umno Selangor sudah boleh dipimpin oleh pemimpin-pemimpin Umno dari negeri itu sendiri yang mempunyai kemampuan untuk meneruskan kebangkitan Umno di Selangor.

Katanya lagi, sementara pemilihan itu dimuktamadkan Jun ini, jawatan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dipangku oleh timbalan pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: