Jumaat, 31 Mei 2019

UMMAH buat laporan polis terhadap Peguam Negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar 

Tommy mungkin lindungi penjenayah, ganggu inkues Adib


KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menuntut pihak berkuasa menyiasat Peguam Negara, Tommy Thomas kerana mencampuri urusan prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tommy perlu disiasat mengikut Seksyen 212 dan Seksyen 219 Kanun Keseksaan kemungkinan melindungi pesalah, melalui kacau ganggu prosiding inkues serta kemungkinan menggunakan jawatannya dengan cara tidak jujur dan dengan jahat membuat laporan, perintah dan keputusan bagi menindas keadilan.

Timbalan Pengerusi UMMAH, Kamaruzaman Mohamad berkata, peguam negara itu juga perlu disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mana-mana peruntukan lain yang berkaitan.

“Peguam Negara telah bertindak mengarahkan Syazlin Mansor iaitu peguam yang mewakili KPKT dan keluarga Adib supaya menarik diri hanya selepas 36 hari prosiding inkues serta selepas Syazlin memutuskan untuk memanggil semula Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, sedangkan tiada bantahan dibuat pada peringkat awal mengenai perlantikannya.

“Tommy menyatakan bahawa keputusan mengarahkan Syazlin menarik diri adalah kerana peguam itu mengambil kedudukan bertentangan dengan Jabatan Peguam Negara dalam inkues Adib, seolah-olah peguam negara telah mempunyai pendirian sendiri dalam inkues ini dan mahukan semua pihak mengikut pendiriannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini ketika mahu membuat laporan polis mengenai inkues Muhammad Adib.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, tindakan Tommy menjadikan inkues seolah-olah berat sebelah dan tidak mencapai matlamat asal untuk menyiasat punca kematian anggota bomba.

Menyifatkan tindakan Tommmy sebagai ‘miscarriage of justice’ Kamaruzaman berkata, Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya mempunyai pendirian sendiri dalam prosiding inkues kerana inkues bertujuan untuk menyiasat punca kematian yang tidak pasti dan segala teori kemungkinan perlu diambil kira.

“UMMAH melihat bahawa Pejabat Peguam Negara telah campur tangan secara serius dan kami mahu satu siasatan dibuat secara telus. Sekiranya Tommy atau sesiapa sahaja di terbabit secara langsung dalam kes-kes jahat seperti ini, kami mahu tindakan serius diambil,” tegas beliau.

Terdahulu, Tommy mengesahkan mengarahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, membatalkan pelantikan peguam Syazlin dalam inkues kematian Muhammad Adib.

Beliau mengarahkan Zuraida untuk membatalkan pelantikan Syazlin daripada mewakili kementerian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) atas empat sebab.

Tommy berkata, Syazlin sepatutnya menolak pelantikannya kerana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM sepatutnya hanya mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara, manakala sebarang lantikan peguam luar mestilah daripada Peguam Negara atau Pendakwa Raya.

Selain itu, katanya, tindakan Syazlin mewakili keluarga Muhammad Adib, KPKT dan JBPM sekali gus tidak boleh diterima kerana mencetuskan konflik kepentingan antara tiga pihak yang mungkin memiliki kepentingan bertentangan.


Tiada ulasan: