Jumaat, 31 Mei 2019

Ultra kiasu akan bantah syor ajar subjek Islam, kata Ridhuan Tee

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Negara akan lebih aman jika bukan Islam faham mengenai agama Islam



BANGI– Malaysia akan lebih aman jika orang bukan Islam memahami agama Islam, walaupun tidak menganut agama itu, kata pendakwah bebas, Prof Dr Riduan Tee Abdullah.

Menyokong cadangan pemimpin PAS supaya subjek kenali agama Islam diperkenalkan kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), beliau berkata, salah faham yang timbul hari ini kerana kegagalan orang bukan Islam memahami agama majoriti di negara ini, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pernah menyuarakan cadangan sama sebelum ini, Ridhuan Tee menjangkakan bahawa syor itu pastinya akan dibantah oleh golongan ultra kiasu.

“Sejarah membuktikan bukan Islam boleh hidup senang-lenang dalam sebuah negara Islam, berbanding orang Islam yang hidup dalam negara bukan Islam.

“Tidak pernah aman, sentiasa umat Islam menjadi mangsa keadaan, dianiayai, dizalimi, dan dibunuh. Contoh yang berlaku di Myanmar, India, China dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Membanding keadaan di Thailand, beliau berkata, agama Buddha tidak boleh disentuh langsung kerana dilindungi, bahkan umat Islam di negara itu wajib menghormatinya.

“Bandingkan juga di Terengganu dan Kelantan, kenapa orang Cina di sana begitu lunak dan amat lembut terhadap Islam? Kerana mereka begitu rapat dengan budaya Melayu dan Islam. Sebab itulah orang Melayu begitu baik dengan mereka.

“Di Jalan Pusara, bandar Kuala Terengganu, orang Melayu berjiran lagi dengan kubur orang Cina,Kristian dan India. Bolehkah orang Cina berjiran atau mendirikan rumah berhampiran kubur Melayu? Fikirkan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa agama Islam yang membawa keadilan sejagat mesti diketengahkan sebagai subjek wajib untuk diambil oleh pelajar bukan Islam.

“Memahami cara berfikir orang Melayu yang bersifat horizontal (mendatar) selalu berfikir apa yang boleh diberikan, disumbangkan, dengan Islam yang menjadi pegangan.

“Sudah tentu orang Cina yang berfikir secara vertikal (menegak) yang tidak puas, begitu dengan kecenderungan India yang lebih kepada lateral, pastinya dengan kefahaman Islam kepada mereka ini, keadaan akan menjadi lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali mencadangkan supaya memperkenalkan subjek mengenali agama Islam kepada murid bukan Islam, di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) peringkat rendah dan menengah.

Khairuddin berkata, syor itu lebih tepat untuk dilaksanakan berbanding cadangan mewujudkan subjek mengenali agama lain di sekolah dan universiti diutarakan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) pada minggu lalu, bertujuan memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.


Tiada ulasan: