Sabtu, 25 Mei 2019

Sultan Brunei pulangkan ijazah kehormat Universiti Oxford

MALAYSIAKINI

   

GLOBAL | Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dilaporkan mengembalikan ijazah kehormat yang diterima dari Universiti Oxford susulan kritikan berhubung rancangan pelaksanaan hukuman sebat atau direjam hingga mati kepada golongan gay dan pesalah zina.

Perkara itu diumumkan Universiti Oxford pada 23 Mei, seperti dilapor Reuters hari ini.

Terdahulu, satu petisyen mengumpul kira-kira 120,000 tanda tangan setakat bulan lalu, menggesa universiti ulung itu menarik semula ijazah kehormat undang-undang yang dianugerahkan kepada baginda pada 1993.

Menurut Universiti Oxford, Sultan Hassanal Bolkiah telah mengambil keputusan untuk memulangkan ijazah tersebut di saat pihak universiti sedang menilai semula anugerah itu.

"Sebagai sebahagian proses semakan semula, kami telah menghantar notis kepadanya pada 26 April 2019, meminta pandangannya selewat-lewatnya 7 Jun.

"Menerusi surat bertarikh 6 Mei 2019, sultan mengambil keputusan untuk memulangkan ijazahnya," kata Universiti Oxford dalam kenyataan kepada Reuters.

Pada 28 Mac lalu, pihak berkuasa Brunei mengumumkan pelaksanaan hukuman rejam sampai mati terhadap warga beragama Islam yang melakukan zina dan seks sejenis, bermula 3 April.

Ia mengundang kritikan dunia termasuk daripada selebriti seperti George Clooney dan Elton John yang menggesa hotel mewah milik Brunei di Amerika Syarikat dan Eropah diboikot.

Awal bulan ini, Sultan Hassanal bolkiah mengumumkan hukuman itu tidak akan dilaksanakan dengan melanjutkan moratorium terhadap undang-undang itu.


Tiada ulasan: