Jumaat, 31 Mei 2019

SPRM tak siasat Apandi, kata sumber


   

Sumber mendedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berhubung skandal 1MDB.

"Tiada (siasatan) kes 1MDB dibuka terhadapnya (Apandi)," kata seorang pegawai tinggi SPRM yang enggan mendedahkan namanya, kepada Malaysiakini.

Ia susulan gesaan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bahawa Apandi perlu disiasat kerana membantu bekas perdana menteri Najib Razak menutup skandal itu.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri dilaporkan telah menarik balik larangan ke luar negara terhadap Apandi.

Hari ini Lim berkata Apandi menggantikan Abdul Gani Patail pada Julai 2015. Abdul Gani digantikan atas sebab kesihatan walau timbul spekulasi beliau ketika itu sedang berusaha untuk mengenakan pertuduhan terhadap Najib.

Beberapa hari selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad memberita pemberita yang kerajaan baru menimbang untuk melancarkan siasatan terhadap Apandi dan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar ekoran tindakan mereka ketika mengendalikan siasatan 1MDB.

Ketika penyingkirannya, Abdul Gani mengetuai pasukan petugas khas menyiasat wang berbilion ringgit dalam akaun peribadi Najib.

Beliau digantikan beberapa minggu selepas Wall Street Journal dan Sarawak Report melaporkan sejumlah RM2.6 bilion (berdasarkan kadar tukaran mata wang ketika itu) dan RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib.

Wang RM42 juta itu daripada subsidiari 1MDB, SRC International. Manakala Najib berkata RM2.6 bilion itu ialah daripada derma.

Laporan itu berdasarkan dokumen bocor daripada penyiasat Malaysia.

Pada Januari 2016, Najib membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Apandi ketika itu berkata beliau berpuas hati - berdasarkan bukti daripada saksi dan dokumen sokongan oleh SPRM - bahawa jumlah AS$681 juta yang dipindahkan ke akaunnya antara 22 Mac dan 10 April 2013 itu, adalah "sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi kepadanya (Najib) tanpa apa-apa balasan."

"Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan telah menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan itu diberi kepada perdana menteri secara peribadi," katanya.

Apandi juga mendakwa Najib telah memulangkan AS$620 juta daripada wang itu - yang didakwa Jabatan Kehakiman AS daripada 1mDB - kepada penderma.

Berkenaan wang RM42 juta pula, Apandi mendakwa Najib tidak tahu atau diberitahu bahawa ia dimasukkan ke akaunnya antara akhir 2014 ke awal 2015.

"Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa material, perdana menteri mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang telah dipindahkan ke dalam akaun beliau sebelum itu," katanya ketika itu.

Najib kini sedang dibicarakan untuk sejumlah pertuduhan berkenaan SRC International.


Tiada ulasan: