Selasa, 21 Mei 2019

SPRM dijangka panggil Zahid, Hishammuddin berkaitan skandal tukar tanah

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Hishammuddin Hussein.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dijangka memanggil bekas menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein untuk memberi keterangan berhubung skandal “land swap” atau pertukaran tanah membabitkan tanah kementerian itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata demikian kepada Bernama hari ini.

Zahid dilantik sebagai menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013, sebelum Hishammuddin menggantikannya mulai 16 Mei 2013 hingga Mei 2018.

Kementerian Pertahanan sudah membuat laporan berhubung 16 perjanjian pertukaran tanah milik kementerian itu kepada SPRM minggu lalu, susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dari Julai hingga Disember
2018.

Berdasarkan laporan JKSTUPKK, 13 daripada 16 projek pertukaran tanah itu di bawah pentadbiran terdahulu membabitkan Najib Razak dan Hishammuddin yang menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta.

Hasil siasatan itu turut mendapati berlaku banyak ketirisan, termasuk penjualan tanah pada harga rendah dan projek pertukaran tanah diberikan kepada pemaju tidak berkelayakan.

Semua 16 projek pertukaran tanah itu membabitkan 2,923 ekar tanah milik kerajaan bernilai RM4.7 bilion dengan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan ialah RM4.8 bilion.

Hanya 5 projek disiapkan sehingga Disember 2018, 2 dalam pembinaan dan 9 lagi sama ada gagal disiapkan atau dalam proses ditandatangani.

Tiada ulasan: