Sabtu, 18 Mei 2019

SPR, kenapa sekarang boleh kawtim? – Najib

Muhammad Azizul Osman
MGF13052019_DS-NAJIB-MAHKAMAH-BICARA-SRC10-681x454
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berehat semasa hadir pada hari ke-17 perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,
 

KUALA LUMPUR – Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sedia berbincang dengan kerajaan bagi meneliti larangan penggunaan aset-aset kerajaan untuk berkempen pada waktu pejabat ketika pilihan raya mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, kenapa SPR pada zaman pemerintahannya tidak berbuat demikian dan hanya dibincangkan semasa Pakatan Harapan (PH) mengambil alih.

“Oh. Boleh bincang dan kawtim, rupanya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Najib membuat komen itu setelah Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata akan membuat perbincangan dengan kerajaan mengenai sekatan tersebut.

Malah katanya, ia bagi memastikan SPR mendapatkan pandangan dan maklum balas untuk menambahbaik proses-proses perjalanan pilihan raya.

Tambah beliau, tindakan tersebut selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak terutamanya pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya.

Mengulas mengenai itu, Najib berkata sebelum ini PH sering kali menuduh Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan aset kerajaan namun perkara sama kini dibuat oleh gabungan itu.

“Kenapa dulu tak beritahu? Dulu, PH dan BERSIH sering tuduh kerajaan BN gunakan aset kerajaan semasa pilihanraya.

“Rupanya boleh “bincang”. Baru tahu,” sinis Najib.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peraturan SPR yang melarang anggota jemaah menteri menjalankan aktiviti kempen sewaktu bekerja pada pilihan raya, yang disifatkan memberi kesan kepada pentadbiran. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: