Sabtu, 18 Mei 2019

Polis sahkan suspek sewa kondo bersama Siti Kharina

MALAYSIAKNI

   

Polis mengesahkan suspek utama kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin menyewa bersama wanita itu di unit kondominium Third Avenue di Cyberjaya sejak Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mereka berdua menyewa bersama di unit kondominium berkenaan yang juga lokasi mayat Siti Kharina ditemui.

“Suspek lelaki warga Nigeria itu juga mempunyai kad akses masuk ke kondominium berkenaan dan kediaman itu disewa atas nama Siti Kharina.

“Berdasarkan siasatan polis ke atas suspek dan juga keterangan saksi-saksi lain mendapati, Siti Kharina hanya secara on off (tidak setiap hari) menginap di kondominium berkenaan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Fadzil berkata pihaknya juga sedang menjalankan siasatan sama ada suspek terlibat dengan jenayah lain seperti love scam atau dadah.

“Bagi melengkapkan siasatan, polis telah memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan dan tidak menolak kemungkinan untuk memanggil lagi beberapa individu lain dalam masa terdekat," katanya.

Fadzil berkata, motif pembunuhan kini masih dalam siasatan namun pihaknya telah menemui beberapa petunjuk baru yang tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini.

"Bagaimanapun, dengan penahanan tiga suspek ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai berjaya diselesaikan,” katanya lagi.

Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan ditemui mati dibunuh di sebuah unit kondominium di Cyberjaya seminggu kemudian.


Mayatnya ditemui polis pada 15 Mei lalu dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Semalam, lelaki warga Nigeria berusia 36 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis sebelumnya turut menahan reman dua rakan suspek iaitu seorang wanita warga Nigeria dan lelaki warga Pakistan yang membawa kepada penahanan suspek.

Siti Kharina dilapor sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang menetap di Kuala Pilah.


Tiada ulasan: