Selasa, 21 Mei 2019

Murid parah ditikam dua kali

Nurul Hidayah Bahaudin
 
 

SEORANG murid perempuan Tahun Lima parah selepas ditikam lelaki mabuk yang memasuki rumahnya di Bandar Sungai Long, Kajang, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian 3.40 pagi itu, mangsa berusia 11 tahun dikatakan sedang tidur di dalam biliknya.

Sumber berkata, seorang lelaki mabuk masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu depan kediaman itu yang tidak berkunci.

“Lelaki berusia 40 tahun itu masuk ke dalam bilik kanak-kanak berkenaan sebelum menikamnya menggunakan pisau sebanyak dua kali di bahagian rusuk dan dada.

“Sebaik menikam mangsa, lelaki itu melarikan diri. Kanak-kanak itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu ditahan pihak polis di Batu 9, Kajang pada 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kami ada menerima lapoan kes ini dan ia dipercayai berpunca akibat suspek yang mabuk.

“Suspek direman enam hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 14 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Tiada ulasan: