Khamis, 23 Mei 2019

MSM rugi RM7.06j

Ainul Asniera Ahsan
 
MSM


KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM7.06 juta untuk suku pertama tahun ini berbanding keuntungan bersih berjumlah RM15.81 juta sebelumnya.

Penurunan hasil ini berpunca daripada pengurangan sebanyak 11 peratus dan 15 peratus dalam harga jualan purata (ASP) bagi sektor Domestik dan Industri MSM.

Pasaran Malaysia telah terjejas daripada kenaikan dalam pengeluaran AP kepada pihak industri, disusuli dengan peningkatan penyeludupan gula ke Malaysia, sekaligus mengurangkan harga dalam pasaran domestik.

MSM berkata, penurunan dalam eksport sebanyak 81 peratus dalam tempoh tersebut turut menjejaskan hasil syarikat berikutan persaingan tinggi dalam pasaran eksport akibat daripada lambakan gula dunia.

Prestasi kewangan Kumpulan turut terjejas disebabkan pengurangan dalam nilai ringgit kepada RM 4.1209 terhadap dolar Amerika Syarikat berbanding RM4.0008 pada suku sebelumnya.

Pada tempoh tersebut, MSM telah mengeluarkan 217,880 tan gula bertapis, pengurangan 1 peratus berbanding 218,976 tan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kos pengeluaran gula bertapis meningkat sebanyak 12 peratus bagi tempoh yang sama disebabkan penyelenggaraan operasi berjadual, kos pembungkusan yang tinggi, kenaikan harga gas serta jumlah pengeluaran yang berkurang.

Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, prestasi kurang memberangsang itu sudah dijangka kerana permulaan bagi tahun 2019 adalah sukar berikutan cabaran yang dihadapi dari pelbagai sudut, bukan sahaja MSM, malah dihadapi oleh pengeluar-pengeluar gula seluruh dunia.

“Kami sentiasa memantau situasi dengan peka serta melaksanakan pelbagai mekanisma lindung nilai strategik bagi mengurangkan impak daripada ketidaktentuan harga dan matawang memandangkan kos operasi MSM sangat bergantung kepada harga gula mentah dunia dan tukaran asing.

“Di sebalik persaingan yang tinggi dalam pasaran domestik dan antarabangsa serta peningkatan pengeluaran dalam kalangan negara pengeluar, MSM berjaya mengekalkan nilai pengurusan kewangan yang mantap dengan peningkatan baki tunai sebanyak 12 peratus.

“Ini telah memberi ruang untuk pengurusan modal yang lebih efisyen dan juga pelaksanaan inisiatif penjimatan yang lain bagi mengurangkan impak daripada penggearan tinggi,” katanya di sini.

Pengurusan modal yang efisien akan kekal menjadi fokus utama pada tahun 2019, jelas Khairil Anuar.

MSM menjangkakan matawang ringgit akan terus lemah berbanding dolar Amerika Syarikat bagi beberapa bulan berikutnya, akan tetapi, situasi dijangka akan bertambah baik pada suku keempat 2019.

Namun, pelaksanaan cukai eksais (cukai soda) seperti yang dirancang untuk minuman bergula sebanyak RM0.40sen/liter bermula 1 Julai 2019 serta pengeluaran AP yang dijangka lebih banyak akan turut memberikan kesan negatif kepada pencapaian MSM.

“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran di samping pasaran yang kurang memberangsangkan, MSM akan memberikan fokus kepada kepimpinan pasaran dalam Malaysia dan meluaskan jejak serantau.

“MSM akan terus meningkatkan kepelbagaian produk, menerokai peluang untuk kerjasama komersial, melupuskan aset-aset bukan teras dan melaksanan inisiatif-inisiatif penjimatan kos,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: