Rabu, 22 Mei 2019

KKM nafi rakyat Malaysia dijangkiti cacar monyet

Virus cacar monyet boleh merebak kepada manusia melalui gigitan 
atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan 
dan luka haiwan yang dijangkiti. (Gambar CDC Public Health Image)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan yang tular di sosial media mengenai seorang rakyat Malaysia di Singapura dijangkiti penyakit “monkeypox” atau cacar monyet.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini, berkata dakwaan tersebut adalah berita palsu dan menegaskan tiada kes jangkitan penyakit itu dikesan di negara ini.

“Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura menjadi kontak kepada kes ‘monkeypox’ itu.

“KKM sekali lagi ingin menegaskan tiada kejadian kes ‘monkeypox’ dikesan atau dilaporkan berlaku di Malaysia. Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat atau berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kejadian ‘monkeypox’ yang didakwa berlaku di Johor dan Kuala Lumpur.

Pada 9 Mei lepas, Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan mengesahkan satu kes import cacar monyet dikesan melibatkan pesakit warga Nigeria berusia 38 tahun yang menghadiri satu bengkel di negara tersebut pada 28 April.

Terdahalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar dalam kenyataan mengesahkan tiada kes “monkeypox” dikesan di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan tindakan bagi mencegah jangkitan penyakit itu termasuk meningkatkan aktiviti pemantauan di semua pintu masuk Johor, terutamanya mereka yang mempunyai sejarah melawat Nigeria.

Virus cacar monyet boleh merebak kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Virus itu juga boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

Tanda dan gejala jangkitan adalah demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular (cacar) yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain. Tiada rawatan atau vaksin khusus untuk jangkitan cacar monyet.


Tiada ulasan: