Rabu, 15 Mei 2019

K’jaan akan bincang dengan SPR isu sekatan menteri berkempen waktu kerja – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Kerajaan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan sekatan terhadap menteri kabinet untuk berkempen dalam pilihan raya ketika waktu bekerja, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sekatan tersebut seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak mempunyai kerja untuk berkempen 24 jam, sedangkan menteri-menteri tidak boleh berkempen.

“Jadi mereka masa kerja mesti ada dalam pejabat, tak boleh berkempen, sedangkan lepas kerja pun menteri-menteri kerja juga sampai pukul 10 malam kerja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata semasa Pilihan Raya kecil (PPRK) Cameron Highlands pada tahun lepas, beliau juga tidak dibenarkan menggunakan kemudahan kerajaan termasuk kereta dan kapal terbang.

“Semasa saya berkempen di Cameron Highlands, saya kena sewa helikopter swasta untuk ke tempat itu dan kereta milik saya sendiri terpaksa bawa ke sana untuk saya dari lapangan terbang ke tempat berkempen balik pun macam itu juga,” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun mengingatkan anggota kabinet dan anggota politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya tidak menjalankan aktiviti berkempen dalam waktu bekerja pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Selain itu, Azhar berkata anggota kabinet juga tidak seharusnya menggunakan aset-aset atau kemudahan kerajaan bagi tujuan berkempen.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat JKKMAR tersebut membincangkan beberapa inisiatif di bawah Pelan Anti Rasuah nasional (NACP) termasuk mereformasi sistem pilihan raya dan cadangan-cadangan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) berkaitan SPR.

“Kita dapati dalam pilihan raya berlaku banyak perkara tak diingini umpamanya sengaja dilewatkan untuk isytihar kekalahan kerajaan dan macam-macam lagi berlaku, semua ini akan diusahakan SPR supaya tak berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata SPR kini sedang dalam proses membuat ‘pembersihan’ data daftar pemilih melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara, institusi perbankan, Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, syarikat telekomunikasi dan syarikat utiliti bagi tujuan semakan data.

Selain itu, Dr Mahathir berkata JKKMAR turut memutuskan supaya satu mekanisme yang kukuh dan efektif dalam proses pengeluaran permit dan lesen di Kementerian Pertanian dan Induustri Asas Tani dibentuk.

Ia susulan beberapa isu yang diketengahkan oleh kementerian itu membabitkan mekanisme proses pengeluaran permit dan lesen bagi hasil pertanian yang diimport antaranya penyalahgunaan kelulusan kuota, ketirisan, keselamatan makanan dan keupayaan penguatkuasaan.

Dr Mahathir berkata mesyuarat juga bersetuju secara prinsip bahawa semua projek kerajaan yang akan dilaksanakan perlu mendapat khidmat nasihat dan penilaian daripada agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya.

Beliau berkata langkah itu supaya tidak berlaku lagi situasi projek-projek besar di dalam negara dibuat tanpa mengambil kira pandangan jabatan teknikal seperti dahulu bagi memastikan penentuan projek diuruskan dengan telus dan berakauntabiliti.

Bagi meningkatkan integriti individu yang dilantik sebagai pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah dalam syarikat berkepentingan kerajaan (GLC), katanya JKKMAR juga bersetuju supaya kaedah tapisan yang dilaksanakan perlu ditambah baik.

Dr Mahathir berkata beberapa elemen perlu dimasukkan termasuk tapisan keutuhan pengurusan SPRM, semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi dan semakan ke atas penyertaan dalam mana-mana syarikat.

Katanya individu tersebut juga perlu mengisytiharkan sekiranya terdapat ahli keluarga yang berkhidmat dalam syarikat ataupun yang terlibat dengan mana-mana perolehan membabitkan GLC selain semakan latar belakang dan kesahihan kelayakan pendidikan.

Tiada ulasan: