Jumaat, 24 Mei 2019

'Kit Siang terima cabaran seperti harimau, berundur seperti kucing'

MALAYSIAKINI
   
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang terperangkap dalam permainan politiknya sendiri apabila apabila menarik diri dalam cabaran debat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Menyifatkan keputusan menarik diri itu sebagai tindakan terbaik, namun Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan berkata Najib dilihat telah berjaya menewaskan pemimpin DAP itu sebelum debat diadakan.

"Untuk orang biasa, tindakan Lim Kit Siang yang pada awalnya terima cabaran Najib seperti harimau dan kemudian berundur seperti kucing hanya akan dilihat sebagai satu kekalahan.

"Memang dari awalnya, Kit Siang mempunyai kecenderungan untuk fokus serangan demi serangan ke atas Najib.

"Najib pula berjaya memperlekehkan dan meremehkan tindakan Kit Siang sebagai seorang yang terlalu obses dengan beliau.

"Kenyataan Najib ini bukan sahaja mendapat sokongan dari penyokongnya tetapi ramai di kalangan penyokong PH (Pakatan Harapan) sendiri berpendirian sama," kata Arutchelvan menerusi catatan Facebook beliau.

Semalam, Kit Siang memutuskan tidak akan meneruskan debatnya dengan Najib selepas dua hari menerima cabaran itu dengan mencadangkan tajuk berkenaan kleptokrasi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana bimbang kemungkinan besar debat itu akan dimanipulasi menjadi satu konflik perkauman.




'Terperangkap dalam permainan sendiri'

Sementara itu Arutchelvan menyifatkan tindakan Kit Siang meletakkan tajuk tersebut sebagai berat sebelah malah menjangkakan Najib akan tidak setuju dan menarik diri.

"Namun demikian disebabkan Najib tidak ada apa-apa untuk kalah atau tidak ada apa-apa untuk malu (Malu Apa Bossku), maka beliau setuju dengan tajuk tersebut.

"Maka Kit Siang terperangkap dengan permainan yang biasanya beliau amat yakin," katanya.

Kata Arutchelvan meskipun Kit Siang adalah seorang gergasi politik tanahair, namun dalam episod ini beliau tersalah kira kerana lupa Najib bukan lagi perdana menteri yang berkuasa.

"Najib hari ini adalah umpama seekor haiwan yang terjerat dan akan menggunakan apa-apa sahaja untuk untuk keluar dari belenggu," tulis Arul.


Tiada ulasan: