Ahad, 19 Mei 2019

Kit Siang bangkitkan isu kebajikan anggota polis

MALAYSIAKINI

 Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini membangkitkan isu kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika tumpuan diberikan terhadap penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC).

Lim berkata Suruhanjaya Diraja yang mencadangkan pembentukan IPCMC pada tahun 2005 juga telah membuat pelbagai cadangan bagi meningkatkan kebajikan anggota PDRM.

"Selain cadangan utamanya untuk penubuhan sebuah IPCMC - yang kini telah dipersetujui oleh polis selepas menyekat pembentukannya sejak 14 tahun lalu, Suruhanjaya Polis Diraja yang diketuai oleh bekas ketua hakim Mohamad Dzaiddin dan bekas Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat, Hanif Omar telah membuat 11 cadangan untuk meningkatkan kebajikan pasukan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata kaukus reformasi dan tadbir urus yang dipengerusikan Anggota Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim akan mengkaji laporan suruhanjaya itu untuk meneliti sama ada cadangan untuk meningkatkan kebajikan polis telah dilaksanakan sejak 14 tahun lepas.

"Saya akan mencadangkan pada mesyuarat berikutnya kaukus reformasi dan tadbir urus parlimen yang polis diminta untuk membentangkan laporan kemajuan mengenai cadangan Suruhanjaya Diraja untuk meningkatkan kebajikan anggota polis di negara ini, sebagai sebahagian daripada program untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai pasukan polis bertaraf dunia untuk memastikan mereka selamat dari jenayah," kata Lim yang juga Anggota Parlimen Iskandar Puteri.

Antara isu kebajikan yang dibangkitkan ialah elaun khas anggota PDRM yang ditempatkan di bandar-bandar utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Georgetown, penambahbaikan kepada Pusat Latihan PDRM (Pulapol) dan dasar perumahan bagi anggota pasukan keselamatan itu.

Tiada ulasan: