Sabtu, 25 Mei 2019

Kesatuan ulama dunia bimbang laporan tiga bakal dipancung

ISMA WEB

IUMS ajak komuniti dunia adakan bantahan, gesa Arab Saudi, Mesir, UAE bebaskan ulama yang ditahan kerana bercakap benar


DOHA– Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) menggesa Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membebaskan serta-merta beberapa ulama terkenal dan tawanan yang dipenjarakan atas tuduhan tidak munasabah.

Pada masa sama, IUMS melahirkan kebimbangan berhubung laporan media bahawa tiga ulama dan pendakwah terkenal bakal dijatuhi hukuman pancung selepas sambutan Aidilfitri ini.

“Menyedari bahawa Arab Saudi tidak menafikan laporan media itu, IUMS melahirkan keprihatinan terhadap laporan bahawa tiga ulama iaitu Sheikh Salman Al-Ouda; Sheikh Dr Awad Al-Qarni; dan Sheikh Dr Ali-Al-Omari, akan dijatuhi hukuman selepas Ramadan ini,” kata IUMS dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, IUMS menggesa komuniti seluruh dunia menentang pelaksanaan hukuman itu, dan mengadakan bantahan aman di luar kedutaan Arab Saudi di seluruh dunia, dan di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rabu lalu, Middle East Eyes (MEE) melaporkan ketiga-tiga pendakwah terkenal Arab Saudi yang ditahan atas pelbagai tuduhan aktiviti ‘pengganas’ akan dihukum pancung selepas Ramadan ini.

Sheikh Salman, paling dikenali ramai di antara ketiga-tiganya, terkenal pada peringkat antarabangsa dengan pandangan yang progresif mengenai syariah dan homoseksual di dunia Islam.

Dua lagi pendakwah yang dikatakan akan dihukum pancung selepas Ramadan ini ialah pendakwah Sunni, yang juga ahli akademik dan penulis, Sheikh Dr Awad; dan pengacara terkenal, Dr Ali.


IUMS sebelum ini, mengecam dan menolak tuduhan beberapa negara, termasuk Arab Saudi, dan sekutunya, bahawa mereka adalah pertubuhan pengganas.

Kesatuan itu memberi amaran bahawa permusuhan terhadap anggotanya serta tindakan menangkap ulama Islam kerana memberitahu kebenaran, adalah memalukan.

Dalam hal ini, dunia Islam, merayu kepada pemimpin dan seluruh ulama, kumpulan cerdik pandai, untuk campur tangan dan memberi jaminan mereka yang ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan tidak berasas, seperti Sheikh Salman; Dr Musa al-Sharif; DrNasser Al-Omar; Dr Safar Hawaali; Sheikh Dr Awad; Dr Khaled al Ajami; Dr Ali; Dr Ali Badhaddah; Sheikh Saleh al-Taleb; dan Sheikh Dr Abdul Aziz Al-Fawzan, dibebaskan.

IUMS berkata, ulama muslim itu tidak melakukan pemberontakan terhadap pemerintah, mengancam atau menjejaskan keselamatan negara.

“Jenayah mereka hanyalah memberi pendapat yang ikhlas tanpa sedikit pun bersikap hipokrit. Daripada menghargai nasihat ikhlas dan jujur itu, mereka sebaliknya mendapat ganjaran penjara,” kata IUMS.

Pada 2017 lalu, Arab Saudi, Mesir, UAE dan Bahrain, menyenaraihitam 11 individu dan dua entiti lain, termasuk IUMS, dalam senarai yang dianggap ‘pengganas’ bagi negara rantau Teluk itu.

IUMS diketuai oleh ulama terkenal dunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah Naib Presiden IUMS.

Jun lalu, empat negara itu menyenaraikan Qaradawi sebagai antara 59 individu dan 12 entiti lain dalam senarai pengganas.

Bagaimanapun, September lalu, Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan nama Qaradawi daripada senarai individu dikehendaki, setelah menyedari tuduhan jenayah terhadap beliau sengaja direka oleh rejim kudeta Mesir.

Pertubuhan Hak Asasi Kemanusiaan Arab (AOHR) yang berpangkalan di United Kingdom berkata, Interpol mendapati tuduhan terhadap Qaradawi tidak berasaskan perbuatan jenayah, sebaliknya kerana isu politik.

Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar sejak Jun lalu, dan menuduh Doha menyokong keganasan, menaja militan di Syria dan bersekutu dengan Iran, musuh serantau mereka. Qatar bagaimanapun, menafikan tuduhan itu. – Agensi


Tiada ulasan: