Selasa, 21 Mei 2019

Kereta TPR disimbah cat

Nor Farhani Che Ad
 
 
 

KERETA Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahkamah Majistret Baling disimbah cat kapur dalam kejadian di pekarangan rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, mangsa berusia 26 tahun menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya pada 5.30 pagi.

“Semasa mangsa berada di rumah, seorang jiran memberitahunya kereta mangsa yang berada di dalam kawasan pagar rumah disimbah cat putih.

“Mangsa terus keluar dari rumah sebelum mendapati kenderaan terbabit dipenuhi dengan cat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa pernah bertugas di Mahkamah Majistret Kulim selama dua bulan sebelum ditukarkan ke Baling sejak dua minggu lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai masalah hutang.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Tiada ulasan: