Ahad, 19 Mei 2019

Kepanasan ekstrem di Makkah

ISMA WEB

41 darjah Celsius dicatat di kota suci berbanding bandar lain


MAKKAH – Suhu di seluruh Arab Saudi mula melonjak dan dijangka kekal tinggi untuk beberapa bulan akan datang.

Agensi Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar negara itu berkata, suhu yang dicatatkan semalam mencecah 36 darjah Celsius di Jeddah; Riyadh (38 darjah); Dammam (39 darjah); dan Hafr Al-Batin (40 darjah).

“Kota terpanas di Arab Saudi hari ini ialah Makkah di mana ia mencatatkan 41 darjah Celsius,” kata agensi itu, hari ini.

Suhu melebihi 40 darjah Celsius dianggap panas yang ekstrem.

Agensi itu juga meramalkan hujan dan guruh serta angin kencang di Najran; Jazan; Asir; Baha; Riyadh; Qassim; Al-Jouf; dan wilayah di sempadan utara negara itu.

Angin kencang itu akan menyebabkan ‘ribut debu’, yang mengurangkan jarak penglihatan.

“Angin di Laut Merah dijangka mencatatkan kelajuan antara 18 hingga 40 kilometer sejam,” kata agensi itu.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya jemaah umrah yang mula memenuhi kota ini dinasihatkan mengelak daripada terdedah kepada panas matahari kerana ia akan menyebabkan dehidrasi.

Orang ramai juga dinasihatkan mengambil banyak cecair selepas berbuka puasa untuk mengimbangi kehilangan air pada siang hari. – Agensi


Tiada ulasan: