Ahad, 19 Mei 2019

Kenapa tempoh pemulihan ekonomi saling bercanggah, tanya Najib


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mempersoalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terus mengubah tempoh masa yang diperlukan untuk memulihkan ekonomi ekonomi negara.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, kerajaan pada mulanya mengumumkan ia memerlukan 6 bulan bagi memulihkan ekonomi, kemudian berkata ia akan mengambil masa 3 tahun dan terbaru 10 tahun.

Najib berkata ekonomi negara sebelum pilihan raya umum ke-14 semakin meningkat dengan defisit semakin menurun, rizab negara meningkat, nisbah hutang negara menurun, dividen tabung awam sentiasa bertambah dan Bursa Malaysia mencatat tahap tertinggi dalam sejarah.

Bagaimanapun katanya, selepas pilihan raya umum ke-14 itu, ekonomi negara merosot teruk sehingga ia kini “memerlukan 10 tahun untuk dipulihkan”.

“Masa itu hutang negara mungkin benar-benar sudah sampai RM2 trilion dan tidak ada lagi aset untuk dijual,” katanya lagi.

Komen Najib adalah respons terhadap kenyataan presiden PPBM, Muhyiddin Yassin semalam bahawa kerajaan memerlukan masa 10 tahun untuk memulihkan ekonomi Malaysia bagi membolehkan semua pihak mendapat manfaat daripada kemakmurannya.

Beliau berkata, inistiatif “kemakmuran bersama” yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini akan memastikan tiada kelompok yang diabaikan atau terbiar miskin sewaktu negara berkembang maju.

“Maka sebab itulah, dengan adanya pandangan baru (kemakmuran bersama) yang dikemukakan, kerajaan berharap dalam tempoh 10 tahun, seawal-awalnya 10 tahun, kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dan negara, terutama dari segi penguasaan ekonomi, akan dapat kita perbaiki,” katanya dalam satu program di Muar.

Pada 15 April, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin dilaporkan berkata pada satu majlis di Kuala Terengganu bahawa kerajaan memerlukan 6 bulan untuk membaiki kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini dan mengembalikan negara ke landasan yang sepatutnya selepas PH mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lepas.

Katanya, PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberikan penjelasan yang tepat apabila diperlukan, terutama isu berkaitan ekonomi supaya orang ramai faham keadaan yang dihadapi.

“Saya fikir kerajaan memerlukan 6 bulan lagi untuk membaiki keadaan, bukan sahaja dari segi pembangunan ekonomi, tetapi juga isu lain. Rakyat perlu faham perkara ini.”

Di satu sudut lain, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, beberapa kali berkata, beliau yakin Malaysia akan kembali menjadi sebuah kuasa ekonomi dalam tempoh 3 tahun lagi.

Pada 19 Mac beliau berkata, terdapat perkembangan positif berikutan peningkatan pelaburan asing.

“Angka ekonomi makro sepanjang tahun lepas adalah positif dan kita yakin untuk kembali kepada status ekonomi Harimau Asia dalam tempoh 3 tahun,” kata Lim.

Beliau berkata, pelaburan asing langsung (FDI) meningkat 48% tahun lepas, tetapi pelaburan dalam negeri merosot 17% dalam tempoh yang sama.

“Hubungan pelaburan lebih baik dengan China menyaksikan pelaburan dari negara itu meningkat dari RM5 bilion setahun lepas ke RM20 bilion.”

Lim berkata, pelabur asing juga mula kembali selepas menjauhkan diri kerana skandal 1MDB.

Beliau sebelum itu berkata, hasil kerajaan persekutuan dijangka berkurang sebanyak RM21 bilion berikutan penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Najib mahu GST dikekalkan bagi mengukuhkan ekonomi.

MR :  PH kena jawab persoalan Najib bukan mencari kesalahan untuk dihukum dengan manipulasi perkara kecil

Tiada ulasan: