Selasa, 21 Mei 2019

Kelantan tarik balik saman royalti minyak

Murni Wan Omar
 
 

SAMAN Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung pembayaran royalti minyak sudah diselesaikan.

Peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili kerajaan negeri berkata demikian ketika ditemui pihak media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri menarik balik saman itu pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada arahan berhubung kes saman sama yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Hari ini ditetapkan pengurusan kes untuk kes saman itu di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Bache.
Peguam Persekutuan Siti Asmath Che Man hadir bagi Kerajaan Persekutuan.

Pada 7 Mac lalu, Kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa pihaknya akan membayar royalti minyak terhadap Kelantan selepas penarikan saman terhadap mereka dan Petronas selesai.

Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Kelantan memfailkan saman dengan menamakan Petronas sebagai defendan kerana mendakwa syarikat minyak berkenaan melanggar kontrak pembayaran royalti kepadanya berhubung pendapatan minyak.

Kerajaan negeri menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Dalam penyataan tuntutan, kerajaan negeri turut menuntut bayaran ganti rugi dengan kos, bagaimanapun tidak menyatakan jumlah spesifik tuntutan terhadap syarikat minyak dan gas nasional itu.

Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan kemudian berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.

Kes saman itu sebelum ini masih berlarutan di peringkat permohonan interlokutori dengan kerajaan negeri memohon untuk memasukkan 14 persoalan dan isu undang-undang dalam kes saman terbabit.

Pada Julai 2014, Mahkamah Persekutuan memutuskan supaya kes saman berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan melalui isu perundangan mengikut Kaedah 14A Kaedah Kaedah Mahkamah 2012.

Tiada ulasan: