Jumaat, 24 Mei 2019

Kata putus rombakan Kabinet di tangan PM

Noorazura Abdul Rahman
 
 

TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar bersedia untuk digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melakukan rombakan Kabinet.

Beliau berkata, Perdana Menteri mempunyai kuasa pregrogatif untuk berbuat demikian jika beliau mendapati seseorang menteri itu tidak berupaya melaksanakan tugas.

“Kalau Tun Mahathir menilai menteri itu ada kelemahan dan tak berupaya hendak baiki kelemahannya maka itu hak beliau untuk rombak kabinet.

“Saya tak ada masalah kepada sebarang pengguguran mana-mana nama atau dari parti mana hatta diri saya sendiri kalau itu pertimbangan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin yang mencadangkan Menteri, Menteri Besar dan Exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela.

Menulis di blognya, Kadir berkata, tempoh setahun adalah cukup lama bagi mereka yang dilantik untuk mempelajari cara melaksanakan tugas untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Justeru, katanya, selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, kenyataan Kadir itu adalah hak kebebasan bersuara yang boleh dibuat oleh sesiapa pun dan setiap menteri harus peka dengan setiap kritikan kepada mereka.

Katanya, menteri dan juga timbalan menteri harus memperbaiki setiap kelemahan dan perlu memastikan setiap tugas dapat dilaksanakan dengan baik.

“Semua menteri yang ada sekarang tidak boleh merasa hebat walaupun Perdana Menteri berpuas hati dengan pencapaian barisan kabinetnya sebanyak 50 peratus dalam tempoh setahun pentadbiran PH.

“Sebagai timbalan menteri, saya sendiri tidak pernah berpuasa hati dengan tugas yang saya laksanakan, tapi dalam masa yang sama kita perlu terus baiki apa yang kurang,” katanya.

Terdahulu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyerahkan sumbangan makanan asas kepada 250 penerima daripada golongan kurang kemampuan di Masjid Titi Besi, Alor Setar petang hari ini.

Tiada ulasan: