Rabu, 22 Mei 2019

Kalau betul pertahan hak Melayu, bubar Parlimen segera

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Bila dah kongsi kuasa dengan puak cauvinis, baru nak 'bersilat' pertahan hak orang Melayu, Perlembagaan: Naib Presiden Berjasa



BANGI– Bubar segera Parlimen dan bentuk gabungan baharu dengan parti-parti Melayu, jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serius mahu mempertahankan hak orang Melayu serta Bumiputera di negara ini.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman tertanya-tanya apakah kesudahan terhadap isu kuota matrikulasi yang hangat menjadi pertikaian dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Beliau turut mempersoalkan, apakah Bersatu mampu ‘mendiamkan’ parti tamak haloba, DAP dan puak cauvinis yang semazhab dengan mereka.

“Lagikan zaman mereka pembangkang pun mereka tak berdiam diri, adakah mereka akan mengalah dalam keadaan mereka sedang berkuasa?

“Tak dapat kuota sebelum ini, tapi Kabinet dah bagi mereka tempat tambahan. Apakah kita jangka akan berlaku pada tahun depan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hazizi berkata demikian mengulas serangan dan kecaman pelbagai pihak, termasuk DAP, MCA dan Gerakan ke atas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berhubung kenyataannya mengenai kuota matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin bagi mendapat pekerjaan.

Khamis lalu, portal berita melaporkan Maszlee sebagai berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

“Kalau kita nak ubah (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin,” katanya.

Kenyataan Maszlee itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Terbaharu, lebih 69,000 individu telah menandatangani petisyen menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggantikan beliau.

Petisyen yang dilancarkan tiga minggu lalu di change.org oleh ‘Stephen Ng’ itu menyifatkan perlantikan Maszlee hanya menjejaskan sokongan rakyat terhadap PH.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Hazizi berkata, pertikaian yang berlaku ketika ini bukanlah isu Maszlee dan Bersatu semata-mata, sebaliknya membabitkan Perlembagaan serta isu orang Melayu dan Bumiputera.

“Dah kita tanam pokok epal, jangan pula bergaduh kenapa tak keluar buah kelapa. Kita rakyat marhaen, jangan terikut rentak isu dan jangan mudah lupa isu pokok.

“Semua warganegara Malaysia sepatutnya patuh dan akur pada peruntukan Perlembagaan. Orang politik yang berkuasa selama ini tamak. Ketamakan itu menyebabkan mereka berebut kuasa,” katanya.

Jelas beliau, untuk menang perebutan itu, mereka menjemput anasir yang berideologi memusuhi peruntukan hak istimewa orang Melayu untuk berebut serta berkongsi kuasa.

“Bila dah berkongsi kuasa dengan puak cauvinis, rakus dan rasis ini, baru nak bersilat pertahankan hak orang Melayu dan kedaulatan Perlembagaan?
 
Lupakanlah,” katanya.


Tiada ulasan: