Isnin, 20 Mei 2019

Jangan spekulasi isu pembelian helikopter RM300 juta, kata Mat Sabu




PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu meminta spekulasi mengenai isu pembelian helikopter tempur ringan buatan Amerika Syarikat bernilai RM300 juta yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia dihentikan kerana ia akan mengganggu siasatan.

Beliau mengingatkan jawatankuasa siasatan khas isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara masih menjalankan siasatan terhadap isu-isu perolehan dan kewangan Kementerian Pertahanan.

“Pihak-pihak yang tidak berkaitan tidak sepatutnya membuat spekulasi terhadap sebarang isu yang sedang disiasat oleh jawatankuasa seperti pembelian helikopter, kerana ia akan mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan (Kementah) akan memanjangkan hasil siasatan ke atas pembelian 6 buah “Little Birds”, atau MD530G kepada jemaah menteri sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk tindakan lanjut.

“Sepertimana hasil siasatan terhadap isu ‘land swap’ sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, FMT difahamkan 6 buah MD530G yang dikeluarkan oleh MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa AS, McDonnel Douglas dipesan oleh Kementah yang dipimpin oleh Hishammuddin Hussein ketika itu.

Satu kontrak ditanda tangani pada November 2016 yang menetapkan bahawa helikopter terbabit akan dihantar dalam 2 kumpulan. Kumpulan ke-2 dijadualkan tiba tahun lepas.

Syarikat tempatan yang dilantik sebagai ejen MD Helicopters telah dibayar 35% daripada nilai kontrak, berjumlah kira-kira RM113 juta.

Tiada ulasan: