Sabtu, 18 Mei 2019

Isu kuil: NGO dakwa pegawai SPRM bocor maklumat



    Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tiga pegawai SPRM yang didakwa membocorkan maklumat berkaitan satu kes melibatkan seorang 'Tan Sri' dan anaknya.

Penasihat Agamam Ani, Arun Dorasamy mendakwa pada 4 Mei lalu, tiga pegawai risikan SPRM bersarapan pagi bersama anak 'Tan Sri' terbabit di Putrajaya sebelum satu lagi pasukan suruhanjaya pencegahan rasuah menyerbu rumah 'Tan Sri' itu.

"Kami percaya, tiga pegawai risikan tersebut membocorkan maklumat mengenai kes ini kepada pihak 'Tan Sri' tersebut.

"Kami mempunyai bukti, bahawa tiga pegawai risikan SPRM ini mengambil sarapan pagi di sebuah restoran Cyberjaya pada pukul 9.30 pagi, sedangkan SPRM menyerbu rumahnya pada hari yang sama," katanya.

Bagaimanapun, Arun tidak memperincikan maklumat yang didakwa dibocorkan pegawai SPRM itu.

Pada 4 Mei lalu, seorang lelaki bergelar 'Tan Sri' dan anaknya bersama seorang lagi individu direman SPRM selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah milik Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana meminta atau menerima suapan.


BACA BERKAITAN:


Selain itu, Arun juga mendakwa identiti saksi utama kes ini yang disalurkannya kepada SPRM telah dibocorkan oleh tiga pegawai terbabit.

"Lebih parah, identiti saksi utama saya turut dibocorkan kepada 'Tan Sri' tersebut kemudian beliau membuat tawaran kepada saksi saya," katanya lagi.

Selanjutnya, dia turut mendakwa pegawai SPRM yang bertanggungjawab menyiasat kes ini pula telah diugut oleh beberapa individu berkaitan 'Tan Sri' dan anak beliau.

"Sumber terdekat pegawai penyiasat memberitahu saya, beliau rasa terancam dan bimbang dengan keselamatan keluarganya.

"Kami meminta Pesuruhjaya SPRM Shukri Abdull supaya menyiasat dakwaan kami mengenai pegawai-pegawai tersebut (membocorkan maklumat) dan juga dakwaan pegawai penyiasat diugut.

"Kami nampak serius isu ini. Jika, isu ini tidak diambil serius, maka ia kemungkinan besar akan menjejaskan penyiasatan kes ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, peguamnya V Thiru Kumar.

Arun telah menghantar surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull mengenai dakwaan kebocoran maklumat itu pada 16 Mei. 

Salinan surat itu yang dilihat Malaysiakini menunjukkan SPRM memperakui menerima surat terseut.

Ketika dihubungi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata beliau akan meneliti laporan tersebut nanti.

Beliau juga berkata kes tersebut, dan juga kes asal terhadap pembangunan tanah kuil, akan disiasat secara profesional.

"Siasata masih berterusan dan tidak akan terjejas. Saya beri jaminan kedua-dua kes akan disiasat secara adil dan telus," katanya lagi.


Tiada ulasan: