Jumaat, 31 Mei 2019

Inti pati perbicaraan Najib sepanjang minggu ini

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes berprofil tinggi melibatkan bekas perdana menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta menyaksikan lebih banyak pendedahan mengenai bagaimana SRC memperoleh dua pinjaman bernilai RM4 bilion pada 2011 dan 2012 daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) walaupun tidak memenuhi syarat pinjaman KWAP.

Berikut adalah inti pati keterangan saksi pada perbicaraan yang memasuki hari ke-20 pada 29 Mei di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

28 Mei (Selasa) :
  • Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWAP Datuk Azian Mohd Noh memberi keterangan surat permohonan oleh SRC International Sdn Bhd untuk pinjaman RM3.95bil tidak memenuhi dasar keperluan prosedur KWAP.
  • Azian berkata ini kerana sebarang permohonan pinjaman perlu dialamatkan kepada KWAP sedangkan permohonan pinjaman oleh SRC dalam sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2011, ditandatangani oleh Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dialamatkan kepada Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • Membacakan pernyataan saksinya, Azian berkata beliau menerima surat asal permohonan SRC itu daripada pegawai Khas Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias dalam bulan Jun 2011.
  • Katanya, beliau dimaklumkan oleh arwah Azlin bahawa Perdana Menteri pada masa itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan cadangan permohonan dari SRC dan beliau telah dirujuk kepada catitan atas surat itu yang arwah Azlin memberitahu ia dibuat oleh Najib sendiri.
  • “Surat yang saya terima itu merupakan surat permohonan pinjaman yang disediakan oleh SRC dan dialamatkan kepada Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia untuk mendapatkan pinjaman KWAP sebanyak RM3.95 bilion bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had,” kata Azian.
  • Azian, 66, yang kini telah bersara berkata (pada) surat bertarikh 3 Jun 2011 itu terdapat catatan tulisan tangan serta tandatangan Najib yang ditujukan kepadanya selaku CEO KWAP dan menyatakan “bersetuju dengan cadangan ini” yang bertarikh 5 Jun 2011.
  • “Mengikut pemahaman saya, catatan ‘bersetuju dengan cadangan ini’ bermaksud Perdana Menteri bersetuju untuk KWAP memberikan pinjaman kepada SRC. Saya menerima surat permohonan itu dan keesokan hari pada waktu pagi saya berjumpa dengan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah iaitu Pengerusi KWAP dan memaklumkan beliau berkenaan surat itu.
  • “Tan Sri Dr Wan turut menyatakan bahawa beliau sedia maklum perkara tersebut kerana diberitahu sendiri oleh Datuk Seri Najib sebelum ini. Saya kemudian diarahkan oleh Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz agar KWAP dapat mengkaji permohonan tersebut dan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan Panel Pelaburan KWAP,” katanya.
  • Saksi pendakwaan ke-38 itu juga berkata penilaian oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP telah menentukan bahawa KWAP hanya dapat menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja setelah mengambil risiko pembayaran, risiko negara, risiko industri dan risiko over concentration yang tinggi berkaitan jumlah pinjaman yang dimohon oleh SRC berjumlah RM3.95 bilion.
  • Beliau berkata seorang daripada ahli panel pelaburan telah memberikan pendapat supaya Najib dimaklumkan yang KWAP mencadangkan pinjaman pembiayaan RM1 bilion sahaja kepada SRC.
  • “Tidak lama selepas itu, saya dan Tan Sri Dr Wan telah pergi berjumpa dengan Datuk Seri Najib di Pejabat Perdana Menteri. Kami telah memaklumkan tentang hasil keputusan Panel Pelaburan KWAP yang hanya meluluskan pinjaman pembiayaan sejumlah RM1 bilion. Namun, saya tidak ingat tarikh sebenar perjumpaan kami,” katanya.
  • Beliau berkata bagaimanapun Kertas Panel Pelaburan Khas KWAP disediakan untuk pertimbangan bagi kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC untuk tujuan working capital dan pelaburan am. Pinjaman itu diluluskan pada 23 Ogos 2011.
  • Azian memberitahu Mahkamah Tinggi beliau telah bertemu arwah Azlin selepas beliau dihubungi oleh pejabatnya untuk bertemu dengannya di lobi hotel di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) di sini pada waktu malam.
  • Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff, saksi itu berkata beliau mengenali Azlin selama dua tahun kerana beliau berurusan dengannya tentang hal kerja tetapi itu adalah pertama kali mereka bertemu di luar waktu pejabat.
  • Azian mengakui itu adalah pertama kali beliau bertemu Allahyarham Azlin pada waktu malam kira-kira 45 minit.
  • Sementara itu, Pengarah Urusan Ihsan Perdana Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dalam keterangannya berkata Najib menunjukkan reaksi terkejut dan sedih apabila mengetahui ada seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya, apabila beliau bertemu Najib kediamannya di Langgak Duta, di sini, selepas ditahan reman oleh SPRM pada 2015.
  • Dr Shamsul Anwar Sulaiman, 58, berkata Najib bagaimanapun tidak menyuruhnya membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung transaksi pemindahan dana itu.
  • “Dia terkejut dan sedih… dia berkata seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaunnya… dan dia kata dia tidak tahu-menahu langsung mengenai transaksi kewangan itu. (dan beliau hairan) kenapa transaksi dilakukan menerusi syarikat saya (Ihsan Perdana),” kata saksi pendakwaan ke-37 itu.
  • Semasa diperiksa balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, adakah tindakan Najib itu jujur atau hanya “lakonan” seperti seorang pelakon Dr Shamsul Anwar menjawab beliau jujur.
29 Mei (Rabu) :
  • Menyambung keterangannya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh berkata pinjaman berjumlah RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd adalah antara pinjaman terbesar yang pernah dipersetujui oleh KWAP.
  • Azian berkata beliau dilantik sebagai CEO pertama KWAP dan ahli ex-officio kepada Lembaga Pengarah agensi itu pada Mac 2007 sebelum bersara wajib pada 17 Mac 2013.
  • “Berdasarkan pengalaman saya sepanjang berkhidmat di KWAP, kedua-dua pinjaman kepada SRC yang berjumlah RM4 bilion ini merupakan antara pinjaman terbesar yang pernah dipersetujui oleh KWAP,” katanya pada hari ke-20 perbicaraan Najib.
  • Azian, 66, yang kini ahli Lembaga Pengarah Danajamin Nasional Berhad, berkata KWAP juga ada menerima surat Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 28 Mac 2012 yang merupakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kepada SRC International Sdn Bhd bagi pinjaman tambahan RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Feb 2012.
  • Beliau juga mengesahkan terdapat surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 18 Mei 2012 yang dikeluarkan bagi meminda tujuan pinjaman itu diberikan kepada SRC.
  • “Surat ini menyatakan bahawa pinjaman adalah untuk membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja, dan bukan untuk aktiviti pelaburan am. Surat ini juga adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Feb 2012,” katanya.
  • Azian berkata wang pinjaman daripada KWAP hanya boleh digunakan untuk tujuan aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja, dan jika ia digunakan bagi tujuan lain, ini akan melanggar terma-terma perjanjian serta boleh mengakibatkan ‘Event of Default’ dalam perjanjian pinjaman.
  • “Sekiranya perkara ini berlaku dan diketahui oleh KWAP, KWAP boleh menamatkan perjanjian pinjaman serta membuat tuntutan bayaran balik segala baki pinjaman pokok bercampur faedah yang dikenakan daripada peminjam,” katanya.
  • Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada 10 Jun. Azian akan menyambung keterangannya.–Bernama 
  •  
  •  

Tiada ulasan: