Khamis, 23 Mei 2019

Hukum mati 3 ulama, bukti Arab Saudi tamak kuasa, tunduk pada AS

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan 
Arab Saudi menghukum 3 ulama terkenal negara itu adalah 
kerana khuatir dengan kritikan mereka.
PETALING JAYA: Pertubuhan Islam mengutuk tindakan Arab Saudi yang bakal menjatuhkan hukuman mati ke atas 3 ulama terkenal negara itu kerana didakwa atas pelbagai tuduhan “keganasan”.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan Arab Saudi menghukum 3 ulama itu bukanlah disebabkan aktiviti keganasan, sebaliknya kerana khuatir dengan kritikan yang dibuat tokoh agama terbabit.

Beliau mendakwa tindakan Arab Saudi jelas menunjukkan pemerintah negara itu tamak kuasa dan terlalu tunduk kepada kuasa Barat seperti Amerika Syarikat dan Israel.

“Rejim Saudi hanya mementingkan kuasa dan mahu mengekalkan sistem monarki mutlak. Ulama yang menegur dianggap musuh dan perlu dihapuskan.

“Ulama dan aktivis sosial dan pejuang hak manusia menjadi sasaran kerajaan Saudi dengan melabelkan mereka sebagai teroris.

“Rejim Saudi sangat khuatir jika kuasa mereka digugat dan dengan itu mereka patuh kepada arahan Amerika Syarikat dan Israel supaya menghapuskan sebarang penentangan atas nama teroris,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, tindakan Arab Saudi itu juga akan membangkitkan kemarahan golongan ulama dunia dan mereka yang cintakan agamawan.

“Kesan tindakan Saudi itu hanya akan menambah perpecahan dalam kalangan ulama kerana Saudi diketahui mengawal ulama yang diupah untuk patuh dan setia kepadanya,” kata beliau.

Sementara itu Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, perkembangan yang melibatkan ulama Arab Saudi tersebut lebih merupakan isu dalaman negara itu.

“Isu ini tidak ada kena mengena dengan kedudukan mereka sebagai ulama tetapi lebih kepada isu dalaman negara Arab Saudi mengenai kritikan mereka (3 ulama) terhadap sistem pemerintahan beraja.

“Itu hak kerajaan Saudi untuk menentukan hukuman. Di negara kita juga ada hukuman tertentu di bawah Akta Hasutan jika ada rakyat yang mengkritik dan menghina raja,” kata presidennya, Aminuddin Yahya.

Ketika ditanya sama ada hukuman yang bakal dikenakan terhadap 3 ulama itu akan menimbulkan pandangan negatif terhadap golongan ulama, termasuk di Malaysia, Aminuddin berkata, ia tidak memberi kesan besar.

“Tetapi seperti sedia maklum pihak Barat dan konco-kpnconya akan sentiasa melabelkan mana-mana pihak yang memperjuangkan agama sebagai ekstrmis atau pelampau.

“Kita (Malaysia) tidak harus terjebak dengan propaganda Barat dan berusaha terus mempertahankan Islam mengikut undang-undang yang ada,” katanya.

Media Middle East Eye melaporkan 3 ulama terkenal Arab Saudi yang didakwa atas pelbagai tuduhan “keganasan” akan dijatuhi hukuman mati selepas Ramadan, menurut 2 sumber kerajaan dan waris ulama terbabit.

Ketiga-tiga mereka ialah Sheikh Salman al-Odah yang terkenal dengan pandangan progresif mengenai syariah dan homoseksual; ahli akademik dan juga pengarang, Awad al-Qarni serta Ali al-Omari yang merupakan penyiar terkenal.

Sumber kerajaan mengesahkan rancangan hukuman terhadap ketiga-tiga ulama itu yang sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Khas Jenayah di Riyadh.

Pendengaran kes ditetapkan pada 1 Mei lalu, tetapi ditangguhkan tanpa menetapkan tarikh terbaru.

Manakala sumber ke-2 pula berkata, kerajaan Saudi memutuskan untuk meneruskan rancangan menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati hanya terdapat sedikit reaksi antarabangsa, terutama di peringkat kerajaan dan ketua negara.

Salman ditahan pada September 2017 kerana didakwa mempersoalkan pemerintahan beraja mutlak di negara itu.

Beliau yang mempunyai 14 juta pengikut Twitter, pernah dipenjarakan pada 1994-1999 kerana menyokong perubahan politik.
Antara kiriman Twitter terakhirnya ialah mengalu-alukan usaha menyelesaikan pertikaian antara Qatar dan 4 negara Arab, termasuk Arab Saudi.


Manakala Awad yang juga berpengaruh di media sosial dengan 2.2 juta pengikut Twitter, ditahan kerana menyokong langkah menyelesaikan permusuhan dengan Qatar.


Tiada ulasan: