Khamis, 30 Mei 2019

Buka puasa di masjid, kemudian makan di Gurdwara Sahib: Akmal

tyrazalhe 

Ahli Parlimen JB perjelas tindakan sertai Iftar Muhibbah anjuran kuil

 

BANGI – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, hari ini menjelaskan salah faham terhadap tindakannya memenuhi undangan Iftar Muhibbah di Gurdwara Sahib, di bandar raya itu semalam.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, kehadirannya itu hanyalah untuk menyantuni penganjur, namun bukan berbuka puasa seperti yang didakwa pihak tertentu.

Katanya, beliau berbuka puasa dan solat Maghrib di sebuah masjid berhampiran sebelum kembali semula ke Gurdwara Sahib untuk makan bersama dan meraikan tuan ruma serta tetamu.

“Program muhibbah semalam bukanlah majlis rasmi tetapi kerana tersebar luasnya, ramai yang tampil bagi memudahkan urusan dan saya terharu melihat kesepakatan semua pihak.

“Kehadiran pemimpin komuniti India muslim dari Masjid India berdekatan dan komuniti Cina muslim dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) untuk meraikan majlis muhibbah adalah amat bermakna,” katanya.

Mempertahankan tindakannya itu, Akmal berkata, beliau menerima nasihat dan teguran daripada pimpinan agama berhubung isu itu.

“Ternyata dalil dan hujah agama tidak meletakkan halangan kepada umat Islam untuk menghormati agama lain dan mengharuskan kunjungan ke rumah ibadat mereka dengan tujuan yang murni.

“Namun, saya tetap merasakan saya bertanggungjawab agar mereka yang turut serta dalam program ini, terutama di kalangan muslim terpelihara dari segi perbuatan atau mengelak daripada perkara yang meragukan,” katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan itu kesal apabila laman Facebook ‘Ops Johor’ menggunakan polemik agama dan perkauman untuk menyebarkan kebencian berhubung isu berkenaan.

“Kita perlu teliti dan perlu ada kaedah membuat keputusan berdasarkan panduan yang diberikan.

“Tetapi saya juga yakin sebagai seorang Muslim di negara ini, kita juga mampu berperanan mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia,” katanya.


Tiada ulasan: