Sabtu, 25 Mei 2019

Bubar tribunal siasat bekas pesuruhjaya SPR beri mesej salah


   
Bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah berkata pembubaran tribunal yang meneliti dakwaan salah laku bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memberi mesej yang salah kepada orang ramai.

"Dengan membubarkan tribunal, ia memberi mesej tidak apa melanggar kesalahan pilihan raya dan perlembagaan asalkan sudah bersara atau letak jawatan sebelum dibawa ke muka keadilan.

"Ia bererti kakitangan pilihan raya boleh mendapat imuniti atas kesalahan yang mereka lakukan," katanya kepada Malaysiakini.

Maria yang juga merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata keputusan untuk menghentikan prosiding tribunal itu sangat mengecewakan kerana isu yang diketengahkan bukanlah sama ada pesuruhjaya itu meletak jawatan secara sukarela atau tidak.

Jelas Maria, tribunal itu perlu melihat gambaran yang lebih besar, sama ada bekas pesuruhjaya berkenaan melanggar perlembagaan dan undang-undang negara ini dalam melaksanakan tugas.

Pembubaran tribunal ini akan menyebabkan persoalan berkenaan terus tidak berjawab, tambahnya.

"Pesuruhjaya SPR, ketika ini atau sebelum ini, perlu memegang piawai lebih tinggi dalam melaksanakan tugas penting, terutamanya untuk pilihan raya negara yang menyentuh hak setiap warganegara," katanya.

Seorang lagi bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan berkata, penghentian prosiding tribunal itu adalah "melepaskan peluang" untuk menghukum pesuruhjaya yang membuat kesalahan.

"Pembubaran tribunal ini membolehkan penjawat awam terlepas dari pemeriksaan dengan hanya meletakkan jawatan. Sangat memalukan," katanya kepada Malaysiakini.

Jawatankuasa pemandu Bersih turut menyatakan kekecewaan dengan pembubaran tribunal berkenaan.

Keputusan itu, kata mereka, akan memberi contoh buruk bahawa penjawat awam yang diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan boleh terlepas dari diadili dengan hanya meletakkan jawatan sebelum tindakan diambil.

"Sekiranya tribunal itu diteruskan, panel dan orang awam akan berpeluang mendengar bukti bagaimana pesuruhjaya SPR melakukan kesalahan pilihan raya yang menjijikkan dan melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang juga menafikan hak rakyat Malaysia untuk sebuah pilihan raya yang bebas dan adil pada PRU ke-14.

"Sebaliknya, enam pesuruhjaya itu bukan saja terlepas daripada diadili, namun akan terus menikmati kelebihan persaraan awal mereka," katanya.

Terdahulu, ahli panel tribunal menamatkan prosiding dengan keputusan tiga-dua, dan menyifatkan prosiding sebagai sia-sia.

Pengerusi tribunal itu, hakim bersara Mahkamah Persekutuan Steve Shim Lip Kiong mempersoalkan sama ada prosiding itu memberi manfaat kepada orang awam dan negara, sedangkan menurutnya, enam pesuruhjaya berkenaan sudah meletakkan jawatan.

Tiada ulasan: