Jumaat, 24 Mei 2019

Biasiswa untuk Palestin, kenapa DAP yang meroyan?

Muhammad Azizul Osman
Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Tiada sebab untuk DAP meroyan dengan pemberian biasiswa terhadap pelajar Palestin yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan, langkah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu adalah sumbangan lazim yang diberikan atas dasar bantuan kemanusiaan dan ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.

“Pas menempelak sikap gopoh pemimpin DAP yang mempertikai pemberian biasiswa kepada 140 pelajar Palestin (RM 11.47 juta) yang layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti di Malaysia.

“DAP tidak perlu mempersoalkan pemberian biasiswa tersebut kerana ia dikatakan tidak menggunakan dana kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin merujuk kepada kenyataan Mahathir bahawa kerajaan memutuskan untuk menawarkan biasiswa buat pelajar-pelajar dari Palestin meneruskan pengajian mereka di peringkat sarjana muda, sarjana dan Phd di 12 universiti ternama di Malaysia.

Biasiswa itu akan ditawarkan menerusi Pertubuhan Kebudayaah Palestin Malaysia (PCOM).

Dalam pada itu, Pas mendesak agar DAP memperincikan sumber yang diperuntukkan kepada kolej persendirian Cina selama ini.

“DAP harus menjawab dari mana sumber peruntukkan yang diambil untuk memberi jutaan ringgit kepada kolej persendirian swasta Cina seperti Kolej Universiti New Era dan Kolej Universiti Selatan?

Adakah ia diperuntukkan dalam Bajet 2019?” soal Nasruddin. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: