Khamis, 30 Mei 2019

Berjasa akan bertanding PRU15

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

Banyak parti Melayu tak akan gugat kesatuan jika runding, bersepakat


BANGI – Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) hari ini mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memberi tumpuan di negeri pantai barat Semenanjung.

Antara negeri terbabit termasuklah Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Presiden Berjasa, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, parti itu akan tampil dengan semangat mengulangi seruan kesepakatan orang Melayu dan slogan ‘Calon Muslim Berwibawa’ yang dilancarkan pada PRU13 lalu.

“Berjasa amat berbangga dengan peranan mempelopori seruan kesepakatan itu, pada ketika majoriti parti Melayu masih mabuk untuk bertelagah.

“Kami yakin berdasarkan senario politik terkini, seruan kesepakatan yang dipelopori oleh Berjasa pada PRU13 itu akan menjadi faktor pengubah landskap politik negara dalam sedikit masa lagi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Badhrulhisham memaklumkan bahawa Berjasa masih komited dalam Gagasan Sejahtera bersama PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) serta Parti Cinta Malaysia (PCM).

“Bagaimanapun Berjasa terbuka untuk menerima, menyertai dan memperjuangkan mana-mana blok kepartian yang memberi dominasi politik kepada orang Melayu bagi memastikan kestabilan negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Berjasa turut meminta rakyat untuk bersama-sama memberi sokongan kepada parti itu dalam usaha membawa kestabilan dan kesejahteraan Malaysia melalui kesepakatan dan kesatuan bangsa Melayu dan Islam.

“Kita impikan sebuah negara yang aman dan damai tanpa golongan cauvinis, pengamal budaya korupsi, golongan liberal dan sekular yang membawa kepada penghapusan jati diri dan identiti tersendiri rakyat dan negara, selain menggugat kedudukan Islam sebagai agama negara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengumuman hari ini yang akan memberi tamparan pada PRU15 berikutan pengundi Melayu akan berpecah kerana ada juga parti yang menyatakan polisi untuk menyatukan orang Melayu, Dr Badhrulhisham menegaskan, secara hakikatnya perpecahan berlaku bukan disebabkan kepelbagaian parti.

Sebaliknya katanya, perpecahan berlaku disebabkan agenda politik kepartian yang sempit.

“Sebab itu bagi saya Putra (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia), UMNO atau PAS dan parti lain yang ada tidak mengugat kesatuan orang Melayu jika kita dapat berunding dengan baik dan bersepakat,” katanya.


Tiada ulasan: