Ahad, 19 Mei 2019

Akademik kritik ‘kepura-puraan’ kerajaan bertindak terhadap kumpulan Syiah

Ahmad Fauzi Abd Hamid. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik mengkritik kepura-puraan kerajaan melalui tindakannya terhadap kumpulan Syiah dan mempersoalkan jika prinsip Rahmatan lil ‘Alamin atau “belas kasihan kepada semua” digunapakai untuk semua umat Islam walaupun ada yang berbeza fahaman.

Adakah prinsip itu hanya bermakna belas kasihan kepada sesetengah orang Islam, dan bukan yang lain, kata Ahmad Fauzi Abd Hamid dari Universiti Sains Malaysia. Prinsip itu diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama.

Kenyataan Ahmad Fauzi dibuat sebagai maklum balas terhadap tindakan yang diambil terhadap kumpulan Syiah yang mengedarkan risalah bertajuk “Who is Hussain”, merujuk kepada cucu Nabi Muhammad dan watak penting dalam fahaman Syiah.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, baru-baru ini berkata polis bekerjasama dengan pihak berkuasa agama untuk mengekang kegiatan kumpulan itu yang dilihat mengembangkan fahaman Syiah.

“Kita akan pantau sebarang aktiviti yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ambil tindakan yang wajar,” kata Hamid.

Bagaimanapun Fauzi berkata pendirian itu mencerminkan “tiada konsisten dan kepura-puraan” dalam tadbir urus dan fatwa di negara ini.

“Kenapa saya katakan ini? Terdapat fatwa kebangsaan yang menggalakkan penyebaran Salafi-Wahabisme yang dianggap ‘tidak sesuai’ kepada Malaysia. Namun, ramai penceramah Salafi-Wahabi diberi kebebasan dalam Malaysia Baru,” katanya.

Melayu-Islam, bahkan beberapa pihak dalam kerajaan PH, diketahui menghormati penceramah kontroversi Zakir Naik sebagai tokoh selebriti. Mujahid menunjukkan sokongan kepada Naik dengan mengadakan pertemuan dengannya di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Mac. Dalam kiriman Facebook, Mujahid menggambarkan usaha Naik sebagai “inspirasi”.

Terdapat kritikan kuat terhadap Naik. Antara mereka yang mendesak pengusirannya ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr P Ramasamy.

Naik, yang juga penduduk tetap di Malaysia, baru-baru ini didakwa secara “in absentia” berhubung pengubahan wang haram, menuduhnya memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta). Beliau bagaimanapun dengan tegas menafikan dakwaan itu.

Tiada ulasan: