Rabu, 22 Mei 2019

Adun DAP lapor polis dakwaan cuba singkir Maszlee

PETALING JAYA: Seorang Adun DAP membuat laporan polis hari ini tentang dakwaan partinya menuntut perdana menteri menggantikan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dengan timbalannya, Teo Nie Ching.

Wakil rakyat Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata dakwaan itu, yang disebarkan melalui akaun Facebook “Umno Online”, merupakan suatu kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 499/500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

“DAP tidak pernah membuat tuntutan sedemikian. Umno menggunakan kebencian dan menggerakkan sentimen perkauman sebagai suatu platform untuk menyebarkan ketakutan.

“Penggunaan cara ini untuk mempecahbelahkan parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan merupakan satu lagi taktik kotor yang kini digunakan oleh Umno,” katanya dalam kenyataan.

Syerleena membuat laporannya di Ibu Pejabar Polis Daerah Timur Laut, George Town.
Beliau berkata Adun Jawi, Jason H’ng dan Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy akan membuat laporan polis di tanah besar hari ini.

“Perkara ini merupakan suatu isu yang sangat serius dan saya harap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan segera,” katanya.

Bersamanya adalah Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, Adun Pengkalan Kota, Daniel Gooi, Ketua PPBM Jelutong, Omar Abdullah, Timbalan Ketua PKR Bukit Gelugor, Amir Rudin Abdul Rahman, dan Pengarah Biro Keahlian Pemuda Amanah, Ghazali Mohamed Ismail.

Tiada ulasan: