Khamis, 30 Mei 2019

39 pemain, pegawai pasukan bola sepak Perak terima lot tapak kediaman


   

Seramai 39 pemain dan pegawai skuad Liga Super Perak menerima lot tapak kediaman di mukim Hulu Kinta di Ipoh, susulan kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif itu merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap skuad berkenaan dalam membawa pulang piala berkenaan, selepas kejayaan kali terakhir pada tahun 2000.

"Pihak berkuasa negeri melalui Perjumpaan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 8 Mei lalu, telah meluluskan satu lot tapak kediaman kepada mereka yang terlibat.

"Dengan itu, apa yang kita janjikan kepada pemain yang membawa pulang Piala Malaysia pada tahun lalu, janji itu telah tercapai," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Bolasepak Perak di Laman Seri Ridzuan, di Ipoh, malam tadi.

Untuk rekod, Perak berjaya menjulang Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada 28 Okt tahun lalu.

Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkata, pihaknya juga berharap setiap pemain akan berusaha bersungguh-sungguh, khususnya dalam memperbaiki kedudukan skuad The Bos Gaurus dalam Liga Super pada musim ini.

"Saya agak kecewa dengan reputasi kita selaku juara Piala Malaysia pada tahun lalu, kita agak tertekan musim ini dalam mengharungi Liga Super. Saya harap para pemain akan berusaha bersungguh-sungguh sekaligus memenangi baki perlawanan perlu diharungi," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Adly Shah Ahmad Tah berkata, insentif itu merupakan hadiah istimewa kepada pasukan, selepas kejayaan membawa pulang piala yang dianggap amat berprestij di mata para peminat bola sepak Malaysia.

Katanya, ia juga menyuntik semangat pemain untuk berusaha dengan lebih cemerlang dalam mengharumkan nama Perak dalam arena bola sepak tanah air.-- Bernama


Tiada ulasan: