Khamis, 23 Mei 2019

123 warga China operator judi dalam talian di tahan di JB

ISMA WEB

Sindiket perjudian 24 jam cari pelanggan di China aktif sebulan lalu


JOHOR BAHRU– Polis menahan 123 warga China dipercayai bekerja sebagai operator perjudian dalam talian menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Tebrau, di sini malam tadi.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Deputi Superintendan Mohd Zairi Badderul berkata, semua 109 lelaki dan 14 wanita berumur antara 16 dan 47 tahun itu ditahan dalam serbuan bermula 10 malam hingga 2 pagi.

Beliau berkata, premis di tingkat 18 itu dipercayai berfungsi sebagai pejabat pusat panggilan yang mana semua 123 lelaki dan wanita terbabit dipercayai mencari kenalan masyarakat di China bagi tujuan mempromosikan perjudian mereka melalui beberapa laman web seperti d.kingdou.cn dan www.pcdd.in dan www28t.com.

“Hasil serbuan, polis berjaya merampas barang kes yang dipercayai berkait dalam aktiviti judi dalam talian berkenaan merangkumi 118 komputer riba, 287 telefon bimbit pelbagai jenama, 77 buku catatan serta dua wifi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zairi berkata, siasatan awal mempercayai kegiatan berkenaan sudah dijalankan sejak sebulan lepas dan premis berkenaan beroperasi dengan tiga syif berterusan 24 jam.

Beliau berkata, mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (2) g Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, polis Johor akan terus membuat pemantauan, serbuan dan pemeriksaan secara berterusan bagi tujuan membanteras dan membendung segala gejala yang tidak sihat yang boleh menggugat ketenteraman awam di negeri ini. – Bernama


Tiada ulasan: