Isnin, 1 April 2019

Tragedi Langkawi: 'Mayat Naufal dalam keadaan bersujud' - Datuk saudara

Salim Aziz, Astro Awani
Tragedi Langkawi: 'Mayat Naufal dalam keadaan bersujud' - Datuk saudara
Mangsa, Mohd Naufal Mohd Nahar, ditemui rentung bersama ibunya, Nur Suhaila Ahmad, 41 tahun dalam bilik air. - Foto Astro AWANI
 
 
LANGKAWI: Mayat Mohd Naufal Mohd Nahar, 6, mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah di perkampungan nelayan Bukit Malut, di sini ditemui dalam keadaan bersujud di dalam bilik air.

Itu antara yang digambarkan datuk saudara mangsa, Mohd Ridzuan Man, 40, yang ditemui di lokasi sebaik sahaja selesai melakukan proses pengecaman mayat tiga beranak terbabit hari ini.

Jelas Ridzuan, mayat adik Naufal ditemui bersebelahan mayat ibunya yang turut rentung manakala satu lagi mangsa yang rentung seluruh badan di ruang tamu masih belum disahkan identitinya.

Sementara itu, dia menyifatkan hubungannya dengan keluarga terbabit sangat rapat terutama dengan Naufal.
 
Menurutnya, setiap hari mangsa akan sentiasa berhubung dengannya melalui aplikasi WhatsApp dan digambarkan sebagai seorang yang suka bergurau.

"Sampai ini hendak kenal pasti (identiti mangsa). Minta dekat polis kata hendak masuk tengok. Yang anak kecil itu (Naufal) pastilah dengan yang perempuan itu (ibunya), yang lelaki itu tidak tahu lagi siapa.

“Yang depan (ruang tamu) tu lelaki itu rentunglah, cuma yang dalam bilik air anak tu masih elok lagi dengan isteri dia. Tak perasanlah, sebab badan ada yang terbakar sikit, cuma dia (Naufal) macam bersujud. Yang anak itu tiap-tiap hari melawak dengan kita," kata Mohd Ridzuan yang juga seorang agen pelancongan.
 
Sementara itu bagi bapa saudara Naufal, Mohd Nasir Fazir, 35, berkata kali terakhir dia berjumpa keluarga terbabit dalam satu majlis kenduri di kediaman ibunya beberapa minggu lepas.

Namun kesemua mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda atau perubahan yang drastik ketika ditemui.

Jelasnya, tatkala mendengar berita mengenai kejadian terbabit, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan terkejut.

"Dalam tempoh terdekat ini. Hari itu saya pergi rumah emak saya, Adalah di rumah dia (Naufal) tu, tak ada lah ni, tidak bersembang (dengan mereka) cuma nampak sahaja. Perasaan itu tidak tahu nak cakaplah. Sudah abang saya, kakak ipar, anak saudara, tidak tahu nak cakap apa," kata Mohd Nasir yang juga seorang nelayan.

Pada Isnin, dilaporkan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun bersama ibu-bapanya maut selepas rentung dalam satu kebakaran selepas rumah milik keluarganya di Perkampungan Nelayan, Bukit Malut, Langkawi musnah terbakar 70 peratus pagi ini.

Mangsa, Mohd Naufal Mohd Nahar, ditemui rentung bersama ibunya, Nur Suhaila Ahmad, 41 tahun dalam bilik air.

Manakala seorang lelaki yang dipercayai ayah kepada mangsa ditemui rentung seluruh badan di ruang tamu rumah terbabit. 
 
 

Tiada ulasan: