Selasa, 16 April 2019

Terima kasih PH iktiraf program Permata – Najib

Kasthuri Jeevendran
MGF16042019_NAJIB-MAHKAMAH-KL03-1-681x454
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada hari ketiga perbicaraan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Permata Negara yang dinaungi oleh Datin Seri Rosmah Mansor sering menjadi bahan kritikan oleh pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum -14 dengan hampir setiap inisiatifnya dipersoalkan.

Kini program tersebut bakal bertukar nama kepada Genius dengan beberapa penambahbaikan yang akan diumumkan kelak.

Ditanya tentang penjenamaan semula Permata kepada Genius, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apa pun keputusan kerajaan Pakatan Harapan, yang penting program tersebut telah terbukti membawa pelbagai manfaat sehingga mendapat pengiktirafan.

“Tidak apalah, Genius ke Permata ke, janji mereka iktiraf program ini.

“Apa yang kita kata selama ini, Permata adalah satu program yang amat baik sekali, kini mendapat pengiktirafan daripada mereka (PH). Nama pada saya tidak penting sebenarnya.

“Yang penting program Permata ini adalah satu program yang selama ini telah dipolitikkan oleh mereka sebelum ini. Tetapi selepas PRU, lain pula cerita. Mereka kini iktiraf program ini baik untuk generasi akan datang.

“Jadi saya mahu ucapkan terima kasih sangat-sangat kepada kerajaan PH, apa jua kesimpulan mereka kini telah memberikan pengakuan terbuka bahawa program Permata atau kini Genius adalah satu yang menguntungkan untuk generasi kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamatnya prosiding hari ketiga perbicaraan kes SRC International petang tadi.

Semalam Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan Kabinet bersetuju menukar nama Permata yang diilhamkan sendiri oleh Rosmah kepada Genius dengan pengisian program yang akan ditingkatkan kualitinya.

Dr. Maszlee Malik berkata, penukaran nama tersebut adalah untuk memberikan satu jenama baharu supaya menjadi lebih berdaya saing dan bersemangat.

Terdahulu hari ini, anak Najib dan Rosmah, Nooryana Najwa Najib mengkritik langkah kerajaan menukar nama program pendidikan awal kanak-kanak Permata kepada Genius.

Membela program dengan nama sebelum ini kata Nooryana nama baru itu gagal menangkap inti pati Permata yang berteraskan kepercayaan bahawa“setiap anak adalah permata.

“Secara jujur, nama Genius menghina banyak pihak berkepentingan,” katanya dalam laman sosial Instagram hari ini juga mendapat pelbagai reaksi umum. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: