Isnin, 29 April 2019

SPRM tahan bekas pegawai khas menteri

Mohd Husni Mohd Noor
 
 

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, menahan seorang bekas pegawai khas menteri selepas disyaki menjadi dalang mengatur projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Sumber berkata, lelaki bergelar Datuk berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu dikatakan menerima rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian termasuklah pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta sekitar 2017.

“SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal di seluruh negara yang disyaki terbabit dengan individu tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok,” katanya.

Tiada ulasan: