Sabtu, 20 April 2019

Sila laksana hukuman berat - Sultan Johor



Ibrahim Isa
 


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah mahu pihak berkuasa mempertingkat dan memperketatkan rondaan di perairan Johor bagi mengelak pembuangan sisa minyak kapal hingga mengakibatkan pencemaran laut.

Merujuk kepada kejadian tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, Kota Tinggi, baru-baru ini, Sultan Ibrahim bertitah perkara itu akan memberi pelbagai kesan negatif kepada laut dan hidupan marin, selain menjejaskan pendapatan nelayan.

“Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan rondaan bagi mencegah aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki kerana ia akan memberi pelbagai kesan negatif,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

Sultan Johor bertitah, pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan dan hukuman berat terhadap mereka yang didapati melakukan perbuatan itu.

Terdahulu, Rabu lalu, media sosial Harian Metro melaporkan Jabatan Laut Wilayah Selatan menemui tompokan tumpahan minyak sepanjang kira-kira 10 kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki yang melalui kawasan berkenaan.

Kapal dipercayai membuang Marine Fuel Oil (MFO) ke laut bagi mengelak bayaran dikenakan di pelabuhan berikutan harganya dikatakan terlalu tinggi.

Pembuangan MFO menyebabkan pendapatan nelayan terjejas berikutan pelbagai peralatan rosak selain mencemarkan kawasan pantai Tanjung Balau dan Batu Layar yang juga pusat pelancongan negeri ini.

Tiada ulasan: